12 Oktober 2021

PDRM terus pantau SOP sepanjang kebenaran rentas negeri

 HISHAMMUDDIN pada sidang media selepas Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

HISHAMMUDDIN pada sidang media selepas Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Kuala Lumpur: Rakyat diingatkan tidak bersikap sambil lewa terhadap kebenaran merentas negeri kerana masih tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, untuk memastikan SOP terus dipatuhi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi strategi tertentu.

Menurutnya, ia termasuk pemeriksaan rawak di bawah Akta Percegahan dan Pengawalan Berjangkit 1988 (Akta 342) menerusi sekatan jalan raya (SJR) bergerak, pemeriksaan mengejut dan pemantauan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta SJR di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Pertamanya berhubung dengan pengumuman yang membenarkan kita semua rentas negeri, saya nak tekankan bahawa jangan kita bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Keduanya, kebenaran yang diumumkan bukan bermakna pihak berkuasa akan bersikap lepas tangan.

"Dalam mesyuarat (Menteri Kuartet Covid-19) tadi, kita mendapat laporan dan berbincang dengan KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM... mereka memberi jaminan bahawa pemantauan dan juga penguatkuasaan SOP sedia ada akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas sama ada kerajaan akan mempertimbang untuk mewajibkan saringan Covid-19 sebelum merentas negeri, Hishammuddin berkata, langkah itu agak sukar dilaksanakan kerana jumlah individu akan merentas negeri terlalu ramai.

"Memang nak wajibkan hampir mustahil kerana jumlah mereka sekarang yang diberikan ruang untuk bergerak merentasi negeri secara fizikalnya bukan sesuatu perkara yang mudah untuk kita pantau.

"Sebagai contoh, sebelum melakukan rentas negeri, rancanglah perjalanan dengan sebaik mungkin dan jangan terburu-buru sehingga mengabaikan aspek keselamatan keluarga masing-masing.

"Jika terdapat sebarang simptom, tangguhlah dahulu perjalanan. Sebaiknya lakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan dan sebelum pulang semula ke negeri bermastautin," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: