KUALA LUMPUR: Usul bagi membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat akan dibawa ke persidangan akan datang.
Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
“Saya memohon usul Perdana Menteri berkenaan pengungkaian Ordinan-ordinan darurat nombor 13 dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan usul-usul hari ini dibawa ke mesyuarat akan datang juga,” katanya di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.
Selain itu, Wan Junaidi berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 62, lapan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua dan ketiga yang tersenarai di nombor 5 hingga 12 dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini turut akan dibawa ke mesyuarat akan datang.
Ia melibatkan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020; Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020; Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020; Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dan Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2021.
Turut dibawa ke persidangan akan datang ialah Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) (Pindaan) 2021. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan