12 Oktober 2021

Thailand dibuka kepada pelancong divaksin pada 1 November 2021

 

THAILAND bercadang membenarkan pelancong lengkap divaksin dari 10 negara berisiko rendah mulai 1 November depan. - AFP

BANGKOK: Thailand bercadang untuk menamatkan peraturan kuarantin bagi pelancong sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 lengkap dari 10 negara berisiko rendah mulai 1 November depan.

Lapor BBC, Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-Cha mengesahkan perkara tersebut dan walaupun bimbang dengan beberapa risiko, langkah itu dilihat sebagai strategi utama untuk menghidupkan kembali sektor pelancongan Thailand yang sudah lumpuh.

Antara 10 negara yang disenaraikan berisiko rendah adalah United Kingdom (UK), China, Jerman dan Amerika Syarikat (AS).

“Apabila pengembara sampai, mereka harus menunjukkan ujian Covid-19 negatif dan melakukan saringan sekali lagi semasa ketibaan.

“Sekiranya ujian kedua disahkan negatif maka mana-mana pelancong dari negara berkenaan boleh melakukan perjalanan secara bebas seperti rakyat Thailand,” katanya dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.   

Bagaimanapun, Prayuth memaklumkan kerajaan akan bertindak tegas sekiranya terdapat peningkatan dalam kes jangkitan Covid-19 atau kemunculan varian yang sangat mudah menular.

Tambah beliau, pihak berkuasa juga bercadang membuka Thailand kepada lebih banyak negara pada tarikh yang ditetapkan.      

Sementara itu, Prayuth berkata, Thailand akan membenarkan tempat hiburan dibuka semula pada 1 Disember depan. 

Thailand melaporkan lebih 10,000 kes positif Covid-19 hampir setiap hari sejak Julai lalu.

Kira-kira 30 peratus daripada hampir 70 juta penduduk Thailand sudah menerima suntikan vaksinasi lengkap.

Separuh populasi penduduk pula hanya menerima satu dos suntikan vaksin Covid-19. – AGENSI

Tiada ulasan: