PETALING JAYA – Seorang pemuda nekad menunggang motosikal sejauh 420 kilometer (km) dari ibu negara ke Pasir Puteh, Kelantan selepas dibenarkan merentas negeri semalam.
Perantau yang mahu dikenali sebagai Anas, 25, berkata, dia memilih menunggang motosikal kerana ia merupakan satu-satunya ‘harta’ yang ada selepas kehilangan pekerjaan setelah syarikat tempat dia bekerja terpaksa menutup operasi akibat pandemik Covid-19 pada Ogos 2020.
Menurut bekas operator elektrik di sebuah hotel terkemuka di ibu negara itu, kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin sememangnya amat dinanti-nantikan.
“Saya bertolak balik ke Kelantan pada pukul 1 pagi (semalam). Sebenarnya saya sudah tidak mampu lagi untuk tinggal di Kuala Lumpur dan mahu pulang ke kampung.
“Sebelum ini, saya hanya terbayangkan kampung dan apabila dibenarkan, saya segera mengemas pakaian. Sudah lama saya tidak berjumpa dengan ibu dan ayah,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut Anas, selepas kehilangan kerja pada Ogos tahun lalu, dia pernah bekerja di tempat lain, namun tidak bertahan lama.
Dalam tempoh setahun itu juga, Anas mengakui terpaksa menumpang rumah kenalannya di sekitar ibu negara disebabkan sudah tidak mampu membayar sewa sementelah wang simpanan juga telah kehabisan.
“Saya ada kakak yang tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, namun tidak boleh ke sana kerana tidak dibenarkan rentas negeri, jadi saya menumpang di rumah kawan-kawan selama setahun.
“Saya mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk tampung perbelanjaan bulanan,” katanya.
Jelas Anas, walaupun terpaksa menebalkan muka menumpang di rumah rakan-rakan, namun dia bersyukur kerana mereka memahami nasibnya.
“Saya hanya memberikan (wang) sekadar yang termampu,” katanya.
Sementara itu, seorang wanita yang juga ibu kepada tiga cahaya mata dari Taman Desa, Johor Bahru menerima nasib berbeza apabila terpaksa melupakan hasrat untuk pulang ke Kuala Kangsar dan Teluk Intan, Perak selepas suaminya diserang penyakit strok.
Nurain Rozman, 28, memberitahu, suaminya, Sabri Mohamed Khairi, 36, disahkan menghidap penyakit itu pada Julai lalu.
“Keinginan nak balik kampung di Perak untuk berjumpa dengan keluarga memang ada, tetapi memandangkan suami tak mampu berjalan, saya terpaksa pendamkan sahaja.
“Dia (suami) diserang strok pada Julai lalu. Selepas keluar bilik air dia tidak boleh bercakap sebelum pengsan.
“Doktor mengesahkan pembuluh darah di kepalanya pecah dan terpaksa menjalani pembedahan pada hari sama,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Nurain berkata, selain menjaga anak bongsu yang lahir pada Mei lalu, dia kini memberikan tumpuan terhadap suaminya yang hanya terlantar ibarat seperti bayi.
“Segala perbelanjaan terpaksa dicatu dan didahulukan untuk tujuan rawatan susulan serta keperluan suami. Sekiranya suami kembali pulih seperti sedia kala, insya-Allah kami sekeluarga akan pulang ke kampung,” katanya.-K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan