12 Oktober 2021

Oliveira ahli astronomi termuda dunia

 

SI cilik ini merupakan ahli astronomi termuda di dunia ketika ini sebagaimana dilaporkan media-media antarabangsa baru-baru ini. – AFP

SEJAK berusia dua tahun, Nicole Oliveira de Lima Semiao atau lebih dikenali sebagai Nicole Oliveira telah menunjukkan minat kepada angkasa lepas apabila tangannya sering menggapai ke langit seolah-olah ingin mengambil bintang saat dia berjalan.

Kini, kanak-kanak perempuan yang telah menginjak usia lapan tahun itu merupakan ahli astronomi termuda dunia. Si cilik itu bahkan diberi peluang untuk bekerja dengan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) selain mengikuti seminar serta bertemu tokoh-tokoh dalam bidang sains.

Oliveira yang berasal dari Maceio, Brazil itu mempunyai pencapaian luar biasa dalam bidang astronomi apabila berjaya menjumpai 18 batu angkasa atau asteroid dalam program NASA-affiliated dan sekiranya penemuan tersebut disahkan, maka dia akan menjadi orang termuda di dunia menemui objek angkasa sebanyak itu.

Ini sekali gus memecahkan rekod ahli astronomi amatur dari Itali iaitu Luigi Sannino yang menemui dua asteroid pada tahun 1998 dan 1999 ketika berusia 18 tahun.

“Saya merancang untuk menamakan 18 asteroid itu sempena nama saintis Brazil dan ahli keluarga seperti ibu serta ayah saya,” kata kanak-kanak perempuan berambut perang gelap itu dengan nada teruja.

Menerusi NASA-affiliated, kanak-kanak tersebut terlibat dengan projek dikenali sebagai Asteroid Hunters yang mana program tersebut direka bagi memperkenalkan orang muda kepada sains dengan membantu mereka membuat penemuan sendiri berkaitan angkasa.

IBU bapa Oliveira iaitu Zilma (kiri) dan Jean Carlo (kanan) sentiasa memberi dorongan serta sokongan kepadanya dalam mendalami bidang astronomi.

Projek Asteroid Hunters yang dikendalikan oleh International Astronomical Search Collaboration merupakan sebuah program sains tempatan yang bekerjasama dengan NASA.

Oliveira mula terlibat dalam program tersebut sejak Kementerian Sains Brazil menjalankan kerjasama dengan NASA dan badan-badan lain.

Projek Asteroid Hunters itu memberi peluang kepada saintis-saintis muda seluruh dunia untuk mengambil bahagian dalam penemuan astronomi masing-masing.

Jika menemui batu angkasa, mereka boleh menamakannya tetapi pihak NASA perlu mengambil masa sehingga lima tahun untuk membuat pengesahan penemuan tersebut secara rasmi.

Menurut ahli keluarga Oliveira, bilik kanak-kanak perempuan itu dipenuhi dengan poster berkaitan sistem solar, miniatur roket dan watak-watak dari filem angkasa terkenal Star Wars yang tersusun rapi di raknya.

Oliveira bekerja menggunakan komputer yang mempunyai dua skrin besar dan dia banyak menghabiskan masa melihat langit malam dengan menggunakan teleskop untuk mencari objek angkasa.

“Ketika berusia dua tahun, dia turut mengangkat tangannya ke langit dan meminta kepada saya dengan berkata: ‘ibu, berikan saya bintang’.

“Kami menyedari dia mempunyai minat yang sangat serius dalam bidang astronomi apabila meminta sebuah teleskop sebagai hadiah hari lahir ketika berusia empat tahun,” cerita ibunya Zilma Janaca, 43, yang bekerja dalam industri kraf.

SEJAK kecil lagi, Oliveira telah menunjukkan minatnya kepada objek-objek angkasa sehingga memenuhi ruang bilik tidurnya. – AFP

Pun begitu, dia hanya mendapat teleskop ketika berusia tujuh tahun apabila rakan-rakannya berusaha mengumpulkan wang mereka untuk dia membeli alat tersebut.

Oliveira merupakan anggota termuda Pusat Kajian Astronomi Alagoas, Centro de Estudos Astronômico de Alagoas (CEAAL) iaitu sebuah institusi yang mengumpulkan ahli astronomi dari seluruh Brazil.

Demi memastikan dia mendapat pendidikan kaji angkasa terbaik, keluarganya sanggup berpindah ke Fortaleza yang terletak 965 kilometer dari kampung halamannya di Maceio bagi membolehkan dia belajar di sebuah sekolah swasta dan memperoleh biasiswa pendidikan dalam bidang astronomi.

“Semasa dia mengikuti pengajian dalam bidang astronomi, pihak sekolah terpaksa mewujudkan kategori umur pelajar ‘12 tahun ke bawah’ kerana dia berusia enam tahun pada ketika itu.

“Setelah berjaya mendaftar kelas dan mengambil peperiksaan, dia berjaya menjadi ahli CEAAL,” ujar bapanya, Jean Carlo Lessa Semiao yang bekerja sebagai saintis komputer.

Walaupun ketika itu berusia enam tahun, Oliveira berjaya melepasi ujian di CEAAL dengan cemerlang yang mana ia merupakan pencapaian yang sangat luar biasa bagi seorang kanak-kanak.

Oleh kerana pengetahuannya yang luas dalam bidang astronomi, Oliveira sering dijemput untuk memberi ceramah mengenai subjek tersebut di sekolah-sekolah dan dia juga dijemput oleh Kementerian Sains Brazil untuk berkongsi ilmu.

BIARPUN masih terlalu muda, Oliveira sudah pandai mengendalikan teleskop dan melakukan cerapan di langit. – AFP

Menurut gurunya, Heliomarzio Rodrigues Moreira, kanak-kanak itu mempunyai mata yang luar biasa untuk mengesan objek di ruang angkasa.

“Dia sentiasa membantu dan menjadi penasihat kepada rakan-rakan di kelas untuk mencari serta melihat objek angkasa.

“Paling penting dia suka berkongsi pengetahuannya dengan pelajar-pelajar lain yang mana itu sangat membantu dalam pengembangan ilmu sains,” ujarnya.

Oliveira memasang cita-cita besar untuk bergelar jurutera aeroangkasa pada masa hadapan.

“Saya mahu membina roket dan ingin ke Pusat Angkasa Kennedy di Florida untuk melihat roket-roket mereka.

“Saya juga mahu semua kanak-kanak Brazil mendapat akses kepada pendidikan sains,” katanya.

Sementara itu, ketika pandemik Covid-19, ahli astronomi muda tersebut membuka saluran Youtubenya sendiri dikenali sebagai Nicolinha2012 untuk bercakap mengenai asteroid dan ruang angkasa bersama tiga orang rakannya yang berkongsi minat sama.

Di saluran Youtube itu, Oliveira telah menemu bual tokoh-tokoh besar dalam bidang astronomi seperti ahli astronomi Brazil, Duilia de Mello yang mengambil bahagian dalam penemuan supernova dikenali sebagai sebagai SN 1997D.

Dia juga telah menemu bual satu-satunya orang Brazil yang ke angkasa lepas iaitu Marcos Pontes.

Kanak-kanak pintar itu turut menyampaikan ceramah mengenai asteroid Bennu di saluran Youtube tersebut.

Utusan/-

Tiada ulasan: