ATHENS: Gempa bumi berukuran 6.3 pada skala Richter menggegarkan Pulau Crete hari ini, menurut Balai Cerap Athens.
Berdasarkan laporan awal media, tiada kecederaan direkodkan setakat ini dan ia adalah gegaran kedua terkuat melanda pulau terbesar di negara itu dalam masa dua minggu.
Menurut kenyataan Balai Cerap Athens lagi, pusat gempa berkenaan dikesan pada jarak 405 kilometer (km) dan 24 km dari kampung Zakros di tenggara Athens, pada kedalaman kurang sembilan km.
Media tempatan melaporkan, gegaran itu dirasai sehingga Pulau Crete dan di kepulauan Dodecanese di Laut Aegean, dengan penduduk yang bimbang, memilih untuk berkumpul di jalanan.
Pulau Karpathos yang berjiran dengannya turut digegarkan oleh gempa berukuran 4.5 pada skala Richter, beberapa minit kemudian.
"Pusat gempa berada di laut, jauh dari tempat dihuni penduduk, "kata pakar seismologi, Gerassimos Papadopoulos, kepada radio Skai.
Jurucakap agensi perlindungan sivil, Spyros Georgiou, memberitahu AFP bahawa gempa itu menyebabkan sebahagian gereja di perkampungan itu roboh dan mengakibatkan tanah runtuh di jalan luar bandar.
Agensi itu, dalam satu kenyataan, berkata unit darat dan helikopter polis sedang melakukan rondaan di kawasan itu sementara pengawal pantai berjaga-jaga terhadap kemungkinan berlaku tsunami.
Gempa terakhir yang mengakibatkan kematian di negara ini berlaku pada 3 Mac lalu di tengah bandar Elassona, menyebabkan seorang penduduk terkorban, 10 individu tercedera dan pelbagai kemusnahan besar. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan