23 Mei 2008

SUKMA 2008, "Jangan pandang rendah pada kami"

MB Perak menyampaikan anugerah kepada olahragawati Perak 2007, Cheng Karmen (Renang).


Ketua Kontinjen SUKMA Perak 2008, Dato' Jamalludin Al-Amini Bin Hj. Ahmad menerima Bendera Kontinjen dari MB Perak.

IPOH, 21 Mei: Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat(PR). Demikian antara ucapan MB Perak, YAB. Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semasa merasmikan Majlis Anugerah Sukan dan Penyerahan Bendera Kontinjen SUKMA Negeri Perak disini malam tadi.

MB Perak berkata, sukan adalah satu jalinan kemasyarakatan yang membawa kepada kemakmuran dan kesepaduan rakyat. Bahkan, sukan turut memberikan impak yang positif dalam mengharumkan nama negeri dan negara amnya. Justeru itu penganugerahan seperti ini wajar dilaksanakan sebagai inisiatif untuk melonjakkan semangat juang di kalangan warga sukan dalam konteks memajukan era sukan tanah air.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada semua warga sukan di seluruh pelusuk negara kerana keazaman dan displin yang tinggi telah membuka terusan kegemilangan untuk Negeri Perak. Jadikan anugerah ini sebagai inspirasi dan semangat untuk terus mencipta kegemilangan.

"Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Negeri Perak mendoakan agar Kontinjen Negeri Perak akan dapat menempa sejarah gemilang di Temasya SUKMA XII Terengganu 2008", katanya.

Selain itu, satu sketsa menarik dengan judul "Jangan rendah pada kami" telah mendapat tepukan gemuruh dari hadirin. MB Perak juga menyampaikan anugerah kepada olahraga dan olahragawati Perak tahun 2007.

22 Mei 2008

Kecurian kabel telekom membimbangkan banyak pihak

ADUN Titi Serong dan ADUN Kuala Kurau bersama tamu dari Telekom

PARIT BUNTAR, 21 Mei: Kejadian mencuri kabel telekom semakin menjadi-jadi di kawasan utara melibatkan negeri Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Perlis. Kerugian kasar yang diandaikan untuk 3 bulan pertama tahun 2008 berjumlah 11 juta. Kerugian pada tahun 2007 ialah sebanyak 23 juta.

Demikian antara fakta yang diperolehi dalam pertemuan rasmi antara ADUN Titi Serong YB Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Kuala Kurau, YB Ab. Yunus Jamhari dengan pihakTelekom Malaysia Berhad(TM). TM diwakili oleh Pengurus Besar Wilayah Utara, Dr Mazlan Ismail, Penolong Pengurus Besar Negeri Kedah dan Perlis, Hjh Junaidah Hanum Abdul Wahab dan Pengurus Zon Parit Buntar, En. Nazri Abu Bakar.

Pertemuan selama sejam itu melahirkan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah tersebut. Antaranya meningkatkan program kerohanian dan kesedaran islam seperti sembahyang hajat dan baca yassin.

Selain itu, pihak TM berharap ADUN Titi Serong dapat menyelitkan secara berhikmah dalam setiap khutbah jumaat.

Perbincangan juga melibatkan peranan Ketua Kampung dan JKKK dalam mengatasi masalah tersebut.

Mokhzani keluar daripada Umno

Bekas Penolong Bendahari Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Mokhzani Mahathir pagi ini mengumumkan keluar daripada Umno mengikuti jejak bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan hasrat serupa dua hari lalu.

Datuk Mokhzani Mahathir mengesahkan bahawa beliau sudah menghantar surat keluar daripada Umno ke pejabat Umno Bahagian Merbok menerusi faks, semalam.

"Saya membuat keputusan untuk keluar Umno kerana bersetuju dengan pendapat ayah saya bahawa Umno yang ada sekarang bukan lagi Umno sebenar," katanya.

Mokhzani, 47, bekas Ketua Pemuda Bahagian Merbok, kini lebih aktif dalam sektor korporat.

Semalam adik beliau, Datuk Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun, membuat keputusan untuk terus berada dalam Umno sungguhpun beliau bersependapat dengan bapanya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk meletak jawatan dengan segera "bagi menyelamatkan Umno".

Dua hari lalu, Dr Mahathir mengumumkan beliau keluar Umno kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Abdullah, dan menyatakan akan kembali menyertai Umno selepas Abdulllah meletak jawatan atau tidak lagi menjadi pemimpin negara.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Ketua Umno Bahagian Merbok Datuk Tajul Urus Md Zain melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Mokhzani itu tetapi menjelaskan bahawa ia tidak memberi sebarang kesan terhadap kepemimpinan Umno bahagian itu kerana beliau hanyalah seorang anggota biasa dari Umno Cawangan Sungai Layar Hujung.


21 Mei 2008

Anwar: Masalah dalaman UMNO makin parah...

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah dalaman UMNO semakin parah dan jelas tiada harapan untuk pulih.Keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar daripada UMNO mencerminkan krisis parti itu kian meruncing.

''Bagaimanapun kita mesti mengelak daripada terperangkap dengan agenda peribadi untuk menggantikan pemimpin yang lemah dengan pemimpin rasuah," katanya dalam satu email nya.

Dr. Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta semalam.Beliau bertindak keluar parti kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi.

Jika tindakan Dr. Mahadhir adalah mewakili gambaran tidak puas hati sebahagian besar rakyat Malaysia bererti UMNO akan mengalami zaman paling suram dalam tempoh masa akan datang.

Pas sedia beri orang Cina jadi MB

PANDAMARAN 20 Mei – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata, jawatannya boleh disandang oleh kaum Cina asalkan individu berkenaan adalah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Nik Aziz berkata, parti itu tidak ada masalah untuk berbuat demikian memandangkan parti itu dakwanya telah diterima baik daripada kalangan orang Cina dan India ketika ini.

“Saya sanggup beri orang Cina jadi Menteri Besar kalau dia ada kelulusan Al-Azhar.


“Ini kerana, Pas melalui pakatan pembangkang hari ini diterima oleh semua kaum dan di Kelantan sendiri kita telah memerintah selama 18 tahun walaupun ada pihak sebelum ini kata kita tak mampu,” katanya ketika berucap sempena ceramah perdana di Kompleks Sukan Pandamaran, di sini malam tadi.


Turut hadir dalam majlis itu ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Jangan Dibazirkan Masa Untuk Bersengketa Dan Berbalah – DYTM Raja Nazrin Shah

IPOH, 15 MEI 2008 – “Tempoh hayat manusia terlalu singkat untuk dibazirkan dengan bersengketa. “Bumi dan negeri ini terlalu kecil untuk dijadikan medan berbalah.


“Berpeganglah kepada semangat bahawa air adalah air, tidakkan putus walaupun dicencang”.
“Sesungguhnya amat malanglah bagi generasi muda yang bakal mewarisi pusaka bangsa jika di hari muka mereka kehilangan khazanah yang selama ini berada dalam kendungan bangsanya.
“Bersatulah atas nama agama, bersatulah atas nama bangsa dan bersatulah atas nama negara”.

Demikianlah antara titah DYTM Raja Dr. Nazrin Shah ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Kompleks Islam Darul Ridzuan. Sebelum itu, baginda berkenan menerima Pembayaran Zakat Perniagaan dan Tanaman bagi tahun 2007 daripada Lembaga Tabung Haji, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pertubuhan Peladang Negeri Perak, Etiqa Takaful Berhad dan Felcra Berhad Seberang Perak.

Jumlah tersebut yang mencecah RM 9 juta itu kemudiannya diserahkan oleh baginda kepada Y.Bhg Dato’ Jamry Sury, Setiusaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak. Hadir sama mengiringi keberangkatan baginda ialah YAB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Menteri Besar Perak, YB Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan YB Dato’ Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak.

Mukhriz: "Saya akan menjadi suara lantang dalam UMNO yang menegur kepimpinan parti"

KUALA LUMPUR, 20 Mei:-Anak bekas ahli UMNO Tun Dr. Mahadhir (TDM),Mukhriz mendesak Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi meletakkan segera jawatan. Suara beliau ini adalah lebih keras dari nada sebelumnya supaya Pak Lah cepat berundur.

"Saya akan menjadi suara lantang dalam UMNO yang menegur kepimpinan parti,’’ katanya pada sidang akhbar di sini petang ini.

Mukhriz berkata beliau akan menjelajah keseluruh negara untuk mendapatkan sokongan bagi mendesak Abdullah meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan. Mukhriz mendakwa beliau turut mendapat sokongan bukan sahaja dari ahli UMNO tapi juga Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO.

Dalam pada itu Kesemua Ahli Parlimen UMNO di dakwa menemui PM di Parlimen hari ini dan berikrar akan terus kekal dalam parti dan setia dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menerajui parti dan negara.Mereka memberi jaminan tidak akan mengikut jejak langkah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengisytiharkan keluar UMNO semalam.

Sekiranya berita tersebut ada benarnya, berapa orangkah yang bertemu PM, dimana sebenarnya posisi Mukhriz?Namun begitu Mukhriz menegaskan ia tidak akan meletak jawatan atau keluar daripada UMNO walaupun beliau bersetuju dengan tindakan bapanya itu.

20 Mei 2008

Pemimpin UMNO takut ahlinya keluar dari parti?

Tindakan drastik Tun Dr Mahathir (TDM) mengisytiharkan keluar dari UMNO kelmarin membimbangkan banyak pihak dalam UMNO mengenai kesan kepada ahli yang akan meninggalkan parti. Situasi ini tidak dapat disembunyikan lagi melihat kepada kenyataan beberapa orang pemimpin UMNO.

Mungkin kerana bimbangkan ramai ahli UMNO akan mengikuti jejak TDM, Muhyiddin Yassin menasihati anggota UMNO supaya tidak tergopoh gapah dalam membuat keputusan yang boleh merosakkan parti, kedudukan orang Melayu dan negara. Beliau berkata tindakan perlu diambil secara bijaksana dan berhemah supaya keadaan tidak bertambah buruk lagi.

Terkejut dengan tindakan bekas Perdana Menteri TDM yang keluar dari parti itu secara serta merta semalam, Muhyidin menggambarkan kemungkinan sokongan komponan parti dalam BN akan terjejas. “Kalau ada mesej daripada tindakan yang memeranjatkan ini, apa yang perlu dibuat adalah melalui proses demokrasi dalam parti melalui musyawarah, muzakarah dan perbincangan.

Demikianlah suasana dihari kedua TDM keluar dari UMNO. Cina islam sangat yakin suatu kejutan besar akan berlaku kesan daripada hilangnya keyakinan ahli-ahli UMNO kepada presidennya yang paling lemah.

Apakah muslihat TDM keluar dari UMNO ?

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO.Menurutnya, surat rasmi mengenainya akan dihantar kepada Setiausaha Agung UMNO secepat mungkin.Katanya, beliau akan berada di luar UMNO selagi Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memimpin parti itu.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk `Kedudukan Orang Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12’ di sini hari ini.

Berita menggemparkan ini pastinya akan menghiasi warna politik Malaysia dalam masa-masa yang mendatang. Kehangatannya entah bila akan berakhir. Namun baru beberapa jam sesudah pengumuman itu pelbagai rekasi telah diberikan oleh pemimpin UMNO sendiri termasuk Abdullah yang terkejut dan timbalannya Najib yang sedang berada di kaherah meminta ahli UMNO bertenang dan terus memberi sokongan kepada parti.

Musa Hitam juga telah memberi ulasan dengan katanya duri dalam daging sudah tiada. Tidak kurang yang memujuk seperti Ali Rustam dan UMNO Perlis yang meminta TDM menarik balik keputusan itu.

Yang menariknya ada maklumat banyak pengikut di cawangan di Johor yang akan mengikuti jejak TDM. Sebagaimana keputusan Sanusi Juned yang telah dilakukan hari ini juga.

Apa pun saya menjangkakan sesuatu yang lebih besar dan kehangatannya akan membawa kepada "berpeluh"nya semua pemimpin UMNO. Tidak salah TDM pernah mengatakan ada sesuatu perkara besar yang beliau akan dedahkan. Bila lagi kalau bukan sekarang? Ayuh TDM lakukan demi untuk menyelamatkan negara Malaysia yang kita cintai ini.

Saya yakin TDM ada langkah berikutnya setelah dia mengumumkan keluar dari UMNO hari. TDM tidak akan berdiam diri selagi hasratnya tercapai. Kita tunggu dan lihat.

19 Mei 2008

MB Perak kunjung MB Kelantan


KOTA BHARU, 18 Mei: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin telah mengadakan lawatan rasmi ke Kelantan hari ini.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyambut kedatangannya bersama 10 orang deligasi lain kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi di kediaman rasmi JKR 10, di sini.

Turut hadir dalam majlis makan tengahari itu, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaacob, Speaker Dun Kelantan, Ustaz Nasharuddin Daud, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Adun dan lain-lain pimpinan.

Nizar dalam rangka lawatan kerjanya turut ditemani Pengerusi Jawatankusa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna, Chen Fook Chye, Adun Selising, Husin Din, Adun Semanggul, Ramli Husin, Setiausaha Politik dan akhbarnya, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Anuar Hashim.

Dalam rangka lawatan selama empat jam ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu, Nizar turut diraikan pada majlis makan tengahari bersama Anggota Exco kerajaan negeri dan Adun sebelum mengadakan pertemuan rasmi dengan Tuan Guru di pejabatnya.S

Selepas itu, beliau turut menghadiri majlis pertemuan rasmi dengan anggota exco kerajaan negeri dan Adun yang diadakan di Bilik Gerakan Suk.



Kehadiran Nizar buat pertama kali ke negeri itu, menjadi perhatian para media termasuk RTM, tv3, tv9 untuk membuat liputan.

Nizar ketika berucap pada majlis itu berkata, kerajaannya yang baru dibentuk lebih dua bulan itu akan mengutamakan konsep kebajikan dan amanah sebagaimana yang diingini rakyat.

Menurutnya, selama itu rakyat Perak dan seluruhnya begitu ‘haus’ dengan kebajikan dan amanah dari kerajaan baru.

“Untuk kita, pihak kerajaan akan berusaha sedaya mungkin untuk memikul amanah itu sebaiknya dan akan melaksanakan konsep kebajikan dan beramanah sebagaimana yang rakyat inginkan.

“Dalam masa yang sama, Perak memerlukan sokongan semua pihak termasuk rakyat seluruhnya mendoakan kesejahteraan kerajaan kita agar sentiasa berada di bawah lindungan Allah,”ujarnya.

Tegasnya lagi, kerajaan Perak juga akan menjadikan Kelantan sebagai model dalam semua hal termasuk pentadbiran memandangkan kejayaan negeri itu telah menerajui perubahan sejak 18 tahun lalu.

Turut berucap pada majlis itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob.

Sumber: http://siasahdaily.blogspot.com/

Siapakah pendusta agama ?

“Tahukah kamu pendusta agama? Itulah orang yang menghardik anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang miskin” (QS. Al Ma‘uun: 1 3).

Kemiskinan diakui erat hubungannya dengan ketidak adilan. Khususnya, ketidak adilan dalam mendapatkan kesempatan untuk menikmati segala macam rahmat Allah di dunia ini. Tidak sedikit hamba Allah di dunia ini terus dililit kemiskinan karena tidak adanya keadilan di wilayahnya. Wang atau harta benda lainnya hanya beredar pada sebahagian orang saja, terutama orang yang memiliki kekuasaan, sedangkan banyak yang lain sengaja ditutupi kesempatannya. Dalam keadaan demikian, kemiskinan bagaikan sengaja diciptakan atau sekurang-kurangnya dibiarkan.

Padahal dalam ayat di atas disebutkan, siapa saja yang menutup kesempatan orang miskin untuk mencukupi keperluan hidupnya termasuk pendusta agama. Betapa banyak orang miskin yang mempunyai harga diri, iaitu yang mahu mengusahakan sendiri keperluan hidupnya, bukan dengan meminta-minta atau melakukan kejahatan. Namun dipihak lain, ada pihak yang berkuasa menutup peluang usaha mereka dengan peraturan yang menyulit dan menyukarkan golongan ini.

Seterusnya, bila kejahatan yang terpaksa dilakukan oleh orang yang tidak cukup keperluan hidupnya adalah salah satu bukti dari ketidakadilan yang berlangsung selama ini. Oleh karena itu, kita perlu berfikir kembali bagaimana merumuskan tindakan dan dasar yang sifatnya mementingkan keadilan. Apalagi, bersifat adil adalah dekat dengan sifat taqwa sebagaimana firman Allah dalam Al Quran.

China umum tempoh berkabung selama tiga hari

Untuk menyampaikan rasa dukacita kepada mangsa korban dalam bencana gempa di Sichuan, Dewan Negara China mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari dari 19 hingga 21 haribulan Mei di seluruh negeri. Dalam tempoh itu, larian obor Sukan Olimpik dihentikan.

Selain itu, dalam tempoh tersebut, bendera kebangsaan dikibarkan pada separuh tiang, dan semua aktiviti hiburan dibatalkan. Pukul 2.28 petang 19 haribulan Mei, rakyat seluruh China bertafakur selama tiga minit.
Sehingga 4.00 petang ini kelmarin , 36,563 orang diselamatkan di kawasan bencana Sichuan, manakala 31,900 orang maut dan hampir 210 ribu orang cedera. Masih terdapat lebih 9,500 orang terperangkap dalam runtuhan bangunan. Seramai 4.5653 juta orang yang kehilangan rumah disediakan kediaman sementara. Maklumat tersebut diumumkan dalam sidang akhbar Dewan Negara China di Beijing hari ini.

Sekarang terdapat lebih 110 ribu orang askar dan anggota polis dikerah bagi menyertai kerja-kerja menyelamat. Mereka membersihkan dan membaikpulih jalan sepanjang lebih 550 kilometer dan berjaya menyelamatkan mangsa lebih 20 ribu orang daripada runtuhan.

Pegawai daripada Jabatan Turus Agung Pasukan Pembebasan Rakyat China, Mejar Jeneral tentera udara, Ma Jian berkata dalam sidang akhbar tersebut, kemudahan nuklear yang terletak di kawasan bencana tidak terjejas.

Kelab penyokong PAS Kaun India DUN Jawi dilancarkan.

NIBONG TEBAL, 18 Mei :- Kemenangan Pakatan Rakyat di DUN Jawi diperkuatkan lagi dengan bertambahnya sokongan dari kaum India dengan mereka menubuhkan kelab penyokong PAS Kaum India. Sebanyak 70 borang telah diserah oleh sdr. Ponaah yang mewakili kawan-kawannya kepada YDP PAS Kawasan Nibong Tebal, Hj. Ismail Salleh.



ADUN Titi Serong dengan Ahli Kelab Penyokong PAS Kaum India
Penyerah borang itu dilakukan dalam satu ceramah Pakatan Rakyat dengana kehadiran lebih 1000 orang yang telah dianjurkan oleh PAS Kawasan di sini malam tadi. Penceramah yang dijemput ilah ADUN Titi Serong, YB.Drs. Khalil Idham Lim dan ADUN Jawi , YB. Tan Beng Huat.



YB. Drs. Khalil (berbaju Merah), Sdr. Ponaah, YB. Tan Beng Huat, Hj. Ismail (mengangkat tangan)
Drs. Khalil dalam ucapannya menegaskan bahawa Kerajaan Perak setelah hampir 100 hari didapati semakin diyakini dan didatangi oleh banyak pelabur dari dalam dan luar negeri. Katanya mana mungkin pelabur sanggup melabur wang jutaan ringgit jika keadaan perak tidak meyakinkan mereka.
Ceramah beliau dengan diselang seli dengan bahasa mandarin dan melayu menarik minat kehadiran kaun tionghua. Pada Kesempatan tersebut ADUN Titi Serong juga mengatakan bersadarkan kepada Al Quran yang diyakini oleh orang Islam kita semua adalah bersaudara. Jadi untuk apa kita saling bermusuhan.
Beliau Yakin zaman tersebut telah berlalu apabila dakyah buruk BN selama 50 tahun supaya orang Cina dan India takut kepada pAS telah berakhir. Serunya" marilah kita bina negara Malaysia ini dibawah kerajaan Pakatan Rakyat untuk 50 tahun akan datang".
Drs. Khalil menjawab persoalan kenapa orang Cina takut kepada PAS, Katanya inilah sikap buruk pemimpin UMNO yang memomokkan PAS kepada orang cina dengan berbagai pembohongan. Namun zaman itu telah berakhir dan beliau yakin orang Cina dan India sama sekali tidak lagi mempercayainya.

Ratapan dan air mata keluarga mangsa gempa bumi China

CHINA, 18 Mei :-Sehingga pukul 2.00 petang tadi, jumlah korban dalam gempa bumi Sichuan mencatat 28,881 orang manakala kecederaan mencecah 200 ribu.

Presiden China, Hu Jintao dan Perdana Menteri, Wen Jiabao mengarahkan mangsa-mangsa dalam gempa bumi Sichuan mesti segera diselamatkan. Pasukan penyelamat sedang melakukan usaha gigih untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap.


Seramai 110 ribu orang askar dan polis terlibat dalam kerja-kerja menyelamat di 58 buah kampung yang mengalami kesan kemusnahan yang agak teruk di Sichuan. 163 orang berjaya diselamatkan. Sehingga pukul 8.00 malam semalam, 110 ribu orang mendapat rawatan di hospital.


Pegawai dari Jabatan Pelancongan Jiuzhaigou, Sichuan menyatakan, kira-kira sepuluh ribu orang pelawat yang terkandas selamat dibawa keluar dari destinasi pelancongan Jiuzhaigou. Kemudahan di kawasan itu tidak terjejas.


Tiada wabak penyakit atau peristiwa kecemasan kesihatan dilaporkan. Sehingga semalam, bekalan air dipulihkan di 70% kawasan di Sichuan, tetapi, masih terdapat 1.4 juta orang menghadapi kekurangan air minuman, manakala sebanyak 2.6 juta buah khemah diperlukan.


Berdasarkan statistik Kementerian Hal Ehwal Awam, sehingga pukul 1.00 tengah hari tadi, derma daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam dan luar negara melebihi RMB 6 bilion .




Dua beradik dari Kaunti Beichuan yang terpisah dalam gempa bumi berpeluk-pelukan dan menangis selepas bertemu semula.




Di Kaunti Anxian, tiga orang mangsa yang terperangkap dalam gunung selama tiga hari saling berpelukan dan menangis ketika akhirnya berjaya berjalan kaki dari gunung itu.




Seorang ibu meratap selepas diberitahu anaknya terkorban




Warga emas ini meratap kerana anak dan cucunya terkorban dalam gempa bumi di Wenchuan



Ibu dan bapa Bai Yuman, pelajar perempuan Sekolah Menengah Muyu, saling berpelukan dan menangis melihat mayat anak mereka.


Di Kaunti Hanwang, sepasang ibu bapa menangis apabila menjumpai mayat anak mereka

18 Mei 2008

Penjawat awam jangan berpihak

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail menggesa para penjawat awam supaya tidak mementingkan diri sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan awam.Baginda bertitah, mereka juga perlu sentiasa mengamalkan budaya kerja berkualiti dan sanggup berkorban demi kemakmuran rakyat dan negara."Tugas utama penjawat awam ialah memelihara kepentingan rakyat, justeru berlandaskan prinsip dan kefahaman itu, kepentingan awam harus mengatasi kepentingan peribadi.


Cina Islam memandang positif dan menyokong titah ucapan Raja Perlis dalam keadaan penumpuan penjawat awam untuk memajukan negara dan negeri yang mereka cintai. Penjawat awam semestinya menyedari perlantikan mereka bukan kerana parti atau kelompok tertentu. Oleh itu setiap tindakan tidak boleh menyebelahi golongan tertentu.


Budaya kerja yang berkualiti yang disebutkan oleh Tuanku Raja Perlis bagi saya ialah kualiti seseorang penjawat awam yang menyedari dia adalah bebas dari gangguan pihak tertentu dalam melaksanakan tugas. Dia tidak boleh dan sepatutnya mana boleh dipengaruhi oleh pihak tertentu dalam melaksanakan tugas seharian.
Malangnya realiti yang kita hadapi di negeri-negeri yang dikuasai oleh kerajaan Pakatan Rakyat, masih ada lagi segelintir penjawat awam yang seakan-akan masih tidak menyedari bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan baru yang mementingkan rakyat , bukan pihak-pihak tertentu.


Kita yakin dalam tempoh 100 hari yang akan berakhir sekitar sebulan lagi, menyedarkan mereka-mereka yang masih dalam lamunan dan khayalan untuk kembali kelandasan yang betul dan benar. Maka berkerjalah mereka tanpa perlu rasa takut dan bimbang.