27 November 2012

SPA: Ketua Pengarah Kesihatan digantung kerja

13 Muharram 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Mesyuarat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang diadakan hari ini memutuskan untuk menggantung kerja Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkuat kuasa 14 November lepas, kata Pengerusi SPA Tan Sri Mahmood Adam.

"SPA dalam mesyuarat itu telah menimbangkan kertas cadangan untuk menggantung kerja mengikut Peraturan 28(6) dan Peraturan 45, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 terhadap Dr Hasan, Pegawai Perubatan Gred Utama Turus II,
Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahmood berkata, Dr Hasan digantung kerja sehingga keputusan tatatertib diputuskan oleh Suruhanjaya terhadapnya dalam mesyuarat seterusnya, pada 3 Disember depan.

Pada 14 November lepas, Dr Hasan, 56, dan pasangannya Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, juga kakitangan kementerian, masing-masing didenda RM3,000 dan RM2,900 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini, pada 2.18 pagi hari yang sama. - Bernama

Taklimat Scorpene disiar secara langsung

13 Muharram 1433H. [MOD] -




KUALA LUMPUR: Biarpun tidak dibenar masuk ke Malaysia, taklimat skandal Scorpene oleh peguam Perancis di sebuah hotel di Singapura hari ini akan disiar secara langsung menerusi internet.

Inisiatif siaran itu dibuat oleh sebuah NGO yang berkempen dalam isu itu iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Siaran langsung itu akan dipancarkan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) , tepat jam 12.00 tengahari ini.

"SAMM menyediakan ruangan awam untuk siaran secara LIVE dari Singapura untuk sepanjang sesi taklimat peguam Perancis.

"Jadilah antara rakyat Malaysia terawal yang mengikuti taklimat ini dengan hadir ke KLSCAH jam 12 tengahari ini," kata NGO itu dalam satu kenyataan.

Satu sidang media juga akan diadakan setelah tamat sesi taklimat tersebut.

harakah/-

26 November 2012

Kelantan lancar hotel apartmen eksklusif

12 Muharram 1433H. [MOD] -



(Datuk Ahmad berkata sesuatu kepada Wan Ismail  berkaitan hotel apartmen yang bakal dibina ini)

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan kini dalam rangka membina hotel apartmen eksklusif yang dikenali sebagai Embunuri @ Sireh.

Selepas kejayaan anak syarikat PKINK, iaitu Kelkon Sdn Bhd, merintis apartmen KTC, akhirnya syarikat tersebut menjadi tuan rumah lagi untuk membina kediaman eksklusif tersebut.

Harga yang ditawarkan seunit antara RM180,000 hingga RM1.3 juta yang disediakan sebanyak 418 unit keseluruhannya termasuk rumah kedai.

Majlis pecah tanah Embunuri itu telah disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob yang mewakili Tuan Guru Menteri Besar.

Projek berkenaan usahasama Kelkon Sdn Bhd dengan sebuah syarikat swasta Ara Asa Property Management Sdn Bhd.

Datuk Ahmad Yaacob, ketika berucap pada majlis itu berkata, projek yang terletak di Lembah Sireh begitu strategi berhampiran Sungai Kelantan, di sekitar Bandar Kota Bharu.

Katanya, projek itu memakan masa selama tiga tahun untuk disiapkan.

“Kerajaan Kelantan yang berteraskan Islam di bawah kepimpinan ulamak jelas membuktikan kejayaannya dalam melaksanakan pembangunan mengikut syara’.

“Dakwaan yang mengatakan Islam mengenepikan pembangunan adalah dakwaan dangkal yang terpesong dari kehendak Islam sebenar,”ujarnya.

harakah/-

Lim: Pengeluaran KWSP kekal usia 55 tahun

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Doland Lim Siang Chai 12 Muharram 1433H. [MOD] -

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Doland Lim Siang Chai 
 
KUALA LUMPUR - Polisi yang membenarkan anggota Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan keseluruhan simpanan persaraan mereka pada usia 55 tahun adalah dikekalkan pada masa ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.
  
Beliau bagaimanapun berkata cadangan daripada banyak pihak untuk menaikkan umur bagi pengeluaran penuh simpanan KWSP adalah selaras dengan pelaksanaan umur persaraan minimum pada usia 60 tahun.
  
"Ini adalah selepas Akta Umur Persaraan Minimum 2012 diluluskan Dewan Rakyat pada 27 Jun lepas dan dibentangkan di Dewan Negara pada 16 Julai lalu.
  
"Oleh kerana Skim KWSP adalah suatu skim simpanan untuk persaraan pekerja, maka adalah wajar pengeluaran caruman selaras dengan umur persaraan 60 tahun.
  
"Tujuannya adalah untuk memastikan anggota mempunyai lebih banyak simpanan untuk perbelanjaan sara hidup mereka apabila tidak bekerja," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
  
Idris ingin tahu sama ada kerajaan akan melaksanakan peraturan pengeluaran wang KWSP secara keseluruhan pada usia 60 tahun berbanding pada usia persaraan 55 tahun yang dilaksanakan pada masa ini.  - Bernama

Penduduk mengeluh tiada tempat letak kereta

12 Muharram 1433H. [MOD] -

 
  
KUALA LUMPUR – Penduduk di Jalan Burung Garuda, Taman Bukit Maluri, Kepong di sini meminta pihak berkuasa mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan dan kesesakan lalu lintas di kawasan perumahan tersebut. 

Mereka mendakwa masalah itu berlaku ekoran orang ramai yang menggunakan Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kepong di sini turut meletak kenderaan di kediaman mereka.

Menurut seorang penduduk, Yap Lee Yun (gambar kecil), 38, mereka terpaksa meletakkan baldi dan tong sampah bagi menghalang orang luar meletak kereta di hadapan rumah mereka.

“Masalah itu bermula sejak pembinaan laluan pintasan baharu untuk memudahkan pengguna keluar dari stesen komuter ke Jalan Burung Garuda.

“Bagaimanapun, pembinaan laluan itu hanya memudahkan pengguna komuter dan telah menyusahkan penduduk,” katanya di sini baru-baru ini.

metro/-


Buruan polis fanatik Apek

12 Muharram 1433H. [MOD] -

EDAR...Saiful mengedarkan risalah pencegahan jenayah yang ditandatanganinya kepada pengguna jalan raya ketika Ops Bayan, Khamis lalu.
 
EDAR...Saiful mengedarkan risalah pencegahan jenayah yang ditandatanganinya kepada pengguna jalan raya ketika Ops Bayan, Khamis lalu. 
 
BUKIT MERTAJAM: Teruja dengan kehadiran pelakon dan pelawak Saiful Apek dalam operasi sekatan jalan raya, seorang lelaki yang diburu polis rela menyerah diri selepas hasratnya merakamkan gambar dengan artis idolanya itu tertunai. 

Lelaki itu menunggang motosikal dan lalu di kawasan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Mertajam, dekat sini, jam 12.30 tengah malam, Khamis lalu.

Ketika itu polis melakukan Operasi Bayan (Ops Bayan) dan program Kepolisan Berprofil Tinggi (HPP) membabitkan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang.

Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff, 43, berkata, ketika lelaki itu memberhentikan motosikal dia menyerahkan kepadanya risalah pencegahan jenayah yang tertera tandatangannya sempena program terbabit.

Menurutnya, lelaki itu kemudian turun dari motosikalnya dan meminta izin untuk bergambar bersama-sama sebelum membuat pengakuan dia suspek kes jenayah yang dikehendaki polis.

metro/-

Panjat bumbung selamatkan diri

12 Muharram 1433H. [MOD] -


Panjat bumbung selamatkan diri
Ada antara mangsa banjir yang memanjat bumbung rumah kerana bimbang paras air akan naik lebih tinggi.
Panjat bumbung selamatkan diri
Hujan lebat turut mengakibatkan tanah runtuh di sekitar jalan Siliau ke Rantau.
Panjat bumbung selamatkan diri
Anggota penyelamat membantu seorang ibu dan anaknya menyelamatkan diri.
 
LUKUT -  Bimbang kemungkinan banjir besar, menyebabkan ada antara penduduk di kawasan rendah siap sedia memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri.

Mereka berbuat demikian sebagai persediaan awal bagi menghadapi  kemungkinan tidak sempat menyelamat diri sekiranya air naik dengan cepat.

Itulah antara situasi yang dapat dilihat ketika banjir melanda  di beberapa kawasan di  Lukut disini; antaranya Taman Jaya Lukut, Taman Perindustrian Lukut, Taman Indah Jaya, Pekan Lukut, Kampung Sri Parit dan kawasan kampung di Spring Hill.

Banjir tersebut turut mengakibatkan tanah runtuh, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Daerah, Ab Khalid Mat berkata, punca awal  banjir disebabkan hujan lebat dari kadar biasa, selain kawasan rendah dan kedudukannya hampir dengan sungai.

Menurutnya, sebanyak 47 buah rumah membabitkan seramai 150 penduduk terlibat. Namun, selepas pihak berkuasa mengadakan perbincangan bersama mangsa, mereka menolak untuk ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir.

“Banjir mula surut selepas dua hingga ke tiga jam kejadian. Kerja pembersihan termasuk bantuan berupa makanan serta keperluan asas seperti  selimut, bantal dan sebagainya mula diedarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.


Hampir 20 tahun berdepan banjir

Sementara itu, mangsa, Rodiah Denan, 50, berkata, hujan bermula kira-kira 5 pagi dan berterusan selama dua jam.

“Tadi (semalam) hujan memang lebat tapi tidak sangka akan berlaku banjir seteruk ini. Kawasan ini memang sering banjir dan sebenarnya saya letih dengan keadaan ini.
“Kali terakhir banjir adalah sebulan lalu. Keadaannya juga sama, banjir masuk hingga ke dalam rumah. Tetapi kali ini kemusnahan dan kerosakan barang lebih banyak,” katanya.

Mangsa, S Maniam, 62, berkata, perabot rumah yang baru dibeli sempena Deepavali  rosak kerana terendam dengan air.

“Entah berapa puluh ribu ringgit kerugian yang terpaksa saya tanggung. Saya sangat berharap kerajaan melakukan sesuatu tindakan lebih berkesan dalam menangani isu banjir ini kerana ia sudah berlarutan sekian lama,” katanya.

Rosli Khairuddin, 67 berkata, dia memohon kerajaan mengambil berat dengan masalah yang dialami penduduk yang terpaksa berdepan dengan banjir setiap kali hujan lebat.

“Saya menetap di sini hampir 20 tahun dan sejak dari itu sehingga kini kawasan ini sering dilanda banjir menjadikan kehidupan saya sekeluarga dibelenggu kebimbangan.     

“Hendak tinggalkan rumah terlalu lama pun risau, sebab khuatir hujan lebat ketika itu dan berlaku banjir ketika kami tiada di rumah,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat mangsa banjir  berkata, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan untuk kesemua mangsa yang terlibat dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, hujan lebat dan kemungkinan berlaku banjir akan berlarutan sehingga Januari depan dan beliau menasihatkan orang ramai sentiasa peka serta berjaga-jaga dengan keadaan itu.

sinar/-

Surau Al-Hijrah diancam tanah runtuh

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Surau Al-Hijrah diancam tanah runtuh

Kawasan dapur dan dewan terbuka Surau Al-Hijrah yang tidak selamat untuk sebarang aktiviti.
 
PORT DICKSON - Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sini hampir meragut nyawa 30 orang termasuk kanak-kanak yang sedang menikmati sarapan pagi di Surau Al-Hijrah, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi iaitu selepas hujan lebat berlaku di kawasan ini yang turut membabitkan perkampungan Batu 7 Spring Hill. Malah, beberapa taman perumahan di Lukut turut mengalami banjir teruk.

Pengerusi Surau Al-Hijrah, Bandar Spring Hill, Ramli Ismail berkata, kejadian tanah runtuh itu disaksikan ahli keluarga yang terlibat dengan program berkhatan.

“Mereka memberitahu, semasa kejadian, kelihatan  pokok bergerak menggelongsor ke bawah dan kesemua yang sedang makan ketika itu lari meninggalkan makanan masing-masing menjauhi kawasan berkenaan bagi menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian juga, aktiviti berkhatan yang berlangsung  dalam surau diberhentikan serta-merta.
“Bagaimanapun, keadaan kembali reda dan aktiviti berkhatan diteruskan selepas dipindahkan ke kawasan beranda surau yang agak berjauhan dengan kawasan tebing  runtuh itu,” katanya.

Ramli berkata, runtuhan yang berlaku  meliputi kawasan dapur dan dewan terbuka surau.

“Dan pagi ini (semalam) kami mendapati ada beberapa rekahan baru terbentuk dan ini memang mendatangkan kegusaran kepada kami ahli kariah di sini.

“Surau Al-Hijrah adalah tempat ibadah yang menjadi tumpuan umat Islam di sini dan turut mendapat kelulusan daripada jabatan agama untuk kami mendirikan solat Jumaat.

“Pasukan bomba dan penyelamat yang datang melakukan pemeriksaan memaklumkan kawasan dapur dan dewan terbuka tidak selamat. Sementara bangunan utama surau masih selamat dan dibenarkan untuk melakukan aktiviti surau, " katanya.

Ramli berkata, runtuhan berlaku sejauh hampir 50 meter dan bomba memaklumkan siasatan awal punca kejadian adalah disebabkan mendapan tanah.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan bagi menangani masalah tanah runtuh ini.

“Saya khuatir jika berlaku lagi hujan lebat, kejadian tanah runtuh ini akan semakin memburuk. Selain berlaku tanah runtuh di sini, tebing sungai yang dibina dengan konkrit juga turut runtuh.

“Sekurang-kurangnya terdapat 15 lagi buah rumah yang terletak di tebing sungai ini dan ia  menimbulkan kebimbangan penghuninya,” katanya.

sinar/-

Gambar 6 pemimpin Hamas yang telah syahid

12 Muharram 1433H. [MOD] -



“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki” :Al Imran:169

Setiap pejuang memberikan apa sahaja kemampuan mereka menyediakan diri bertemu Ilahi.
Semoga darah para Syuhada dari dahulu hingga kini masih mengalir dalam jiwa

a-jiwa umat ini.Semoga Allah merahmati roh mereka dan berkati perjuangan mereka membebaskan bumi Palestin yang tercinta. Dari kiri atas:

1) Asy Syahid Ir Imad Aqal
2) Asy Syahid Syeikh Ahmad Yaasin
3) Asy Syahid Ir Yahya Ayyash
4) Asy Syahid Dr Abdul Aziz Ar Rantisi
5) Asy Syahid Dr Said Syiam
6) Asy Syahid Al-Qaid, Ahmad Al-Ja’abarri

Mereka telah berikan apa yang mereka punya, kini giliran kita menyediakan dan memberi apa yang kita punya….






Wang dadah RM1.7 juta ditemui tertanam dalam tanah

12 Muharram 1433H. [MOD] -

CARACAS: Pihak berkuasa Venezuela menemui wang berjumlah lebih setengah juta dolar tertanam dalam tanah berhampiran sebuah sungai di barat negara itu. 

Polis percaya wang berkenaan milik kumpulan yang menyeludup dadah dari Colombia ke Amerika Tengah.

Wang berjumlah AS$550,000 itu (RM1.7 juta) yang dibungkus dalam beg plastik ditemui tertanam di sebuah kawasan perkhemahan haram berhampiran Sungai Meta di negeri Apure, kata pihak berkuasa antidadah.
Kawasan itu digunakan oleh kumpulan penyeludup dadah antarabangsa bagi menyembunyikan dadah, wang, minyak dan pesawat yang berlepas dari landasan haram berhampiran.

Kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa antidadah Venezuela juga menjelaskan, kumpulan itu menggunakan negara berkenaan sebagai tempat persinggahan untuk membawa dadah dari Colombia ke Amerika Tengah.

Selain wang, pegawai turut menemui 1.5 kilogram kokain, raifal buatan Jerman, peluru, dua kereta dan telefon serta kelengkapan lain. - AFP

Lelaki maut, kereta dirempuh lori

Lelaki maut, kereta dirempuh lori12 Muharram 1433H. [MOD] -
  
Keadaan kereta mangsa yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 33 Jalan Teluk Intan - Klang, awal pagi, semalam.
 
SABAK BERNAM - Seorang lelaki maut setelah kenderaan dipandunya dirempuh dari arah hadapan sebuah lori kontena dalam kejadian di Kilometer 33 Jalan Teluk Intan - Klang, awal pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superitendan Noor Mushar Mohammad berkata, kejadian jam 12.45 pagi itu berlaku apabila kereta Honda dipandu mangsa cuba memintas kenderaan di hadapannya, namun gagal sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa yang berumur lingkungan 22 tahun berkenaan tidak berjaya untuk memintas kenderaan di hadapannya menyebabkan dia terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh lori kontena terbabit

“Lori kontena berkenaan difahamkan dalam perjalanan menuju ke Butterworth bagi menghantar barang muatan ke sana.

“Bomba mengambil masa kiri-kiri 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Noor Mushar berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas pertembungan berkenaan.

Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) bagi menerima rawatan, namun disahkan meninggalkan dunia jam 2 pagi.

“Pemandu lori turut membuat laporan di Balai Polis Sungai Besar selepas kejadian bagi membantu siasatan terperinci dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Mushar turut menasihati pemandu berwaspada memandu terutamanya pada musim cuti persekolahan ini.

“Saya berharap pemandu dapat memandu dengan lebih berhemah supaya kadar kemalangan dapat dikurangkan khususnya pada musim cuti persekolahan ini,” katanya.

sinar/-

Ferrari pernah dimiliki Ronaldo dilelong

12 Muharram 1433H. [MOD] -

LONDON - Sebuah kereta sport Ferrari 599 GTB Fiorano yang pernah dimiliki bintang bola sepak Real Madrid, Cristiano Ronaldo ditawarkan untuk dijual pada harga £40,000 (RM196,155), lapor akhbar MailOnline kelmarin.

Ronaldo, 27, membeli kereta itu dengan harga £200,000 (RM980,775) pada tahun 2008.

Nilainya jatuh merudum kerana bahagian hadapan kereta itu remuk selepas ia merempuh dinding sebuah terowong pada 9 Januari 2009 dekat Lapangan Terbang Manchester di Manchester.


Ronaldo hilang kawalan semasa dia memandu kereta itu semasa dalam perjalanan untuk berlatih dengan rakan-rakan pasukan kelab Manchester United.

Keretanya merempuh penghadang jalan sebelum melanggar dinding terowong itu. 

Kereta sport berwarna merah itu kini disimpan di pekarangan sebuah syarikat pengedar kereta di Duppigheim, Perancis.

Kereta itu menggunakan enjin V12 dan mampu mencecah kelajuan sehingga 330 kilometer sejam. - Agensi

Morsi jumpa hakim bincang isu rebut kuasa

12 Muharram 1433H. [MOD] -


Presiden Mesir, Mohamed Morsi akan bertemu hakim kanan Isnin ini untuk cuba meringankan krisis rampasan kuasa yang telah mencetuskan protes ganas mirip revolusi tahun lepas.

Aktivis Ahad lalu telah berkhemah di Dataran Tahrir untuk hari ketiga, menyekat trafik dengan penghadang sementara untuk membantah apa yang mereka sifatkan sebagai rebutam kuasa oleh Morsi. Polis rusuhan dan penunjuk perasaan bertempur di kawasan berdekatan.

Seorang ahli Ikhwanul Muslimin telah dibunuh dan 60 orang cedera lewat Ahad lalu dalam serangan ke atas pejabat utama Ikhwanul Muslimin di Delta Nil bandar Damanhour, lapor laman web Kebebasan dan Keadilan Parti milik Ikhwanul Muslimin.

Lebih daripada 500 orang telah cedera dalam pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan membimbangkan Morsi yang cuba untuk menyatukan kuasa.

Membahayakan demokrasi

Badan kehakiman tertinggi Mesir membayangkan untuk berkompromi untuk mengelakkan peningkatan krisis, walaupun penentang Morsi mahukan pembatalan penuh dekri yang mereka lihat membahayakan demokrasi.

Majlis Kehakiman Agung berkata dekri Morsi hanya sah dalam "perkara berdaulat", menunjukkan ia tidak menolak perisytiharan itu secara terus, dan menggesa hakim dan pendakwa, yang sebahagian daripada mereka mula mogok Ahad lalu, untuk kembali bekerja.

Morsi akan bertemu dengan majlis tersebut Isnin ini, lapor media kerajaan.

Pejabat Morsi mengulangi jaminan bahawa langkah-langkah tersebut hanyalah untuk sementara waktu, dan berkata beliau mahu mengadakan dialog dengan kumpulan politik untuk mencari "titik persamaan" dalam apa yang perlu diletakkan dalam perlembagaan Mesir, salah satu daripada isu dalam krisis ini.

Hassan Nafaa, seorang profesor sains politik di Universiti Kaherah, memahami usaha yang dilakukan oleh presiden dan badan kehakiman untuk menyelesaikan krisis berkenaan, namun menambah kenyataan mereka adalah "kabur".

"Ia hanya menuju ke arah yang lebih bermasalah," katanya.

Pasaran saham jatuh Ahad lalu sehingga hampir 10 peratus - yang dihentikan hanya oleh sekatan automatik - adalah yang terburuk sejak pemberontakan yang menggulingkan Mubarak pada bulan Februari 2011. (aljazeera.com)

harakah/-

‘Ini cara kami cegah gejala maksiat’

12 Muharram 1433H. [MOD] -

PADANG SERAI – Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.

Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.

Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat,” katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.

Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.
Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.

“Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi,” katanya.

Kosmo

Polis serbu klinik gugur janin, 3 ditahan

12 Muharram 1433H. [MOD] -
 
PATTAYA: Polis semalam menahan tiga orang dalam serbuan di klinik pengguguran janin di Pattaya. Mayat janin perempuan berusia kira-kira lima bulan yang baru digugurkan oleh seorang wanita berusia 20 tahun turut ditemui di klinik itu.

Polis menahan Arkhom Sarnmano, 31, seorang pemandu teksi motosikal yang membawa wanita itu ke klinik, di mana dia dikatakan diupah untuk membawa ramai wanita mengandung untuk menjalani pengguguran.

Turut ditahan, Jitra Masiyapak, 21, penyambut tetamu klinik itu dan Somjai Buasaen, 45, yang disyaki melakukan pengguguran janin untuk wanita itu. Janin itu ditemui dalam plastik hitam berdekatan.

Somjai dilaporkan mengaku telah membuka klinik itu bertahun-tahun lamanya dan telah ditangkap empat kali. Dia dilepaskan dengan ikat jamin dan membuka semula klinik itu kerana dia memperoleh pendapatan tinggi daripada kerjanya itu.

Setiap pengguguran janin dikenakan bayaran sekurang-kurangnya 10,000 baht (RM996).

Polis berkata, pemilik sebenar klinik itu adalah Charnwit Sattayaprasert, seorang doktor yang melarikan diri dari waran tangkap. - BP