26 November 2012

Panjat bumbung selamatkan diri

12 Muharram 1433H. [MOD] -


Panjat bumbung selamatkan diri
Ada antara mangsa banjir yang memanjat bumbung rumah kerana bimbang paras air akan naik lebih tinggi.
Panjat bumbung selamatkan diri
Hujan lebat turut mengakibatkan tanah runtuh di sekitar jalan Siliau ke Rantau.
Panjat bumbung selamatkan diri
Anggota penyelamat membantu seorang ibu dan anaknya menyelamatkan diri.
 
LUKUT -  Bimbang kemungkinan banjir besar, menyebabkan ada antara penduduk di kawasan rendah siap sedia memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri.

Mereka berbuat demikian sebagai persediaan awal bagi menghadapi  kemungkinan tidak sempat menyelamat diri sekiranya air naik dengan cepat.

Itulah antara situasi yang dapat dilihat ketika banjir melanda  di beberapa kawasan di  Lukut disini; antaranya Taman Jaya Lukut, Taman Perindustrian Lukut, Taman Indah Jaya, Pekan Lukut, Kampung Sri Parit dan kawasan kampung di Spring Hill.

Banjir tersebut turut mengakibatkan tanah runtuh, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pegawai Daerah, Ab Khalid Mat berkata, punca awal  banjir disebabkan hujan lebat dari kadar biasa, selain kawasan rendah dan kedudukannya hampir dengan sungai.

Menurutnya, sebanyak 47 buah rumah membabitkan seramai 150 penduduk terlibat. Namun, selepas pihak berkuasa mengadakan perbincangan bersama mangsa, mereka menolak untuk ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir.

“Banjir mula surut selepas dua hingga ke tiga jam kejadian. Kerja pembersihan termasuk bantuan berupa makanan serta keperluan asas seperti  selimut, bantal dan sebagainya mula diedarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.


Hampir 20 tahun berdepan banjir

Sementara itu, mangsa, Rodiah Denan, 50, berkata, hujan bermula kira-kira 5 pagi dan berterusan selama dua jam.

“Tadi (semalam) hujan memang lebat tapi tidak sangka akan berlaku banjir seteruk ini. Kawasan ini memang sering banjir dan sebenarnya saya letih dengan keadaan ini.
“Kali terakhir banjir adalah sebulan lalu. Keadaannya juga sama, banjir masuk hingga ke dalam rumah. Tetapi kali ini kemusnahan dan kerosakan barang lebih banyak,” katanya.

Mangsa, S Maniam, 62, berkata, perabot rumah yang baru dibeli sempena Deepavali  rosak kerana terendam dengan air.

“Entah berapa puluh ribu ringgit kerugian yang terpaksa saya tanggung. Saya sangat berharap kerajaan melakukan sesuatu tindakan lebih berkesan dalam menangani isu banjir ini kerana ia sudah berlarutan sekian lama,” katanya.

Rosli Khairuddin, 67 berkata, dia memohon kerajaan mengambil berat dengan masalah yang dialami penduduk yang terpaksa berdepan dengan banjir setiap kali hujan lebat.

“Saya menetap di sini hampir 20 tahun dan sejak dari itu sehingga kini kawasan ini sering dilanda banjir menjadikan kehidupan saya sekeluarga dibelenggu kebimbangan.     

“Hendak tinggalkan rumah terlalu lama pun risau, sebab khuatir hujan lebat ketika itu dan berlaku banjir ketika kami tiada di rumah,” katanya lagi.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika melawat mangsa banjir  berkata, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan untuk kesemua mangsa yang terlibat dalam masa terdekat ini.

Menurutnya, hujan lebat dan kemungkinan berlaku banjir akan berlarutan sehingga Januari depan dan beliau menasihatkan orang ramai sentiasa peka serta berjaga-jaga dengan keadaan itu.

sinar/-

Tiada ulasan: