26 November 2012

Pantai makin terhakis

Pantai makin terhakis12 Muharram 1433H. [MOD] -
 
Ali menunjukkan benteng pasir dibuat penduduk secara bergotong-royong, namun gagal menghalang hakisan.
 
KUANTAN  -  Penduduk  merayu kerajaan membina benteng konkrit untuk mengelak masalah hakisan di Kampung Cherok Paloh menjadi lebih teruk.

Hakisan berlaku sejak 30 tahun lalu itu amat membimbangkan penduduk kerana mampu menghakis daratan sebanyak 20 meter setahun.

Keadaan itu menyebabkan keluasan kampung mereka semakin kecil, malah ada rumah penduduk runtuh tiba-tiba.

Lebih membimbangkan apabila musim tengkujuh, tentunya keadaan ombak besar akan memberi kesan lebih tinggi pada kadar hakisan.

Pada tahun lalu, sebuah rumah penduduk di Kampung Pantai Setongkol runtuh akibat hakisan yang melanda selama dua tahun, malah kampung itu kini hampir lenyap.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati hanya sebuah rumah masih elok, manakala kediaman lain sudah tiada di mana kawasan tersebut kini menjadi sebahagian daripada pantai.

Seorang warga emas yang tinggal di Kampung Permatang Merbau, Hasmah Ismail, 76, berkata, tebing sungai terletak kira-kira lima meter dari rumahnya kini semakin terhakis, malah keadaan semakin teruk terutama pada musim tengkujuh disebabkan air mengalir laju.

Menurutnya, dia yang tinggal di situ sejak lebih 30 tahun lalu kini berdepan masalah hakisan dan bimbang sekiranya dibiarkan , rumahnya pula akan menjadi mangsa seterusnya.

“Banyak rumah runtuh akibat hakisan di sini. Jadi saya harap perkara sama tidak berlaku pada rumah peninggalan arwah suami.

“Tebing dibina setinggi lebih dua meter pula semakin terhakis dan saya sangat khuatir sekiranya kadar hakisan   lebih besar berlaku,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cherok Paloh, Ali Adam berkata, kampung tersebut menerima kesan hakisan sejak 1960 lagi.

Bagaimanapun katanya, keadaan bertambah teruk sejak dua tahun kebelakangan ini apabila empat rumah terjejas, malah ada antaranya runtuh akibat masalah itu.

“Boleh dikatakan sepanjang tebing Kuala Sungai Pahang Tua dan Sungai Pahang Tua mengalami hakisan  teruk.

“Hakisan di bahagian kuala menyebabkan sungai menjadi cetek sehingga nelayan terpaksa menolak bot ke tengah sebelum turun menangkap ikan,” katanya.

Katanya, bagi mengelakkan masalah tersebut berlarutan dan mengurangkan kebimbangan penduduk, mereka bergotong-royong membuat benteng pasir untuk mengelak kesan hakisan.

Bagaimanapun, usaha tersebut gagal kerana benteng dibuat penduduk itu tidak mampu menahan ombak besar.

sinar/-

Tiada ulasan: