26 November 2012

Surau Al-Hijrah diancam tanah runtuh

12 Muharram 1433H. [MOD] -

Surau Al-Hijrah diancam tanah runtuh

Kawasan dapur dan dewan terbuka Surau Al-Hijrah yang tidak selamat untuk sebarang aktiviti.
 
PORT DICKSON - Kejadian tanah runtuh yang berlaku di sini hampir meragut nyawa 30 orang termasuk kanak-kanak yang sedang menikmati sarapan pagi di Surau Al-Hijrah, kelmarin.

Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi iaitu selepas hujan lebat berlaku di kawasan ini yang turut membabitkan perkampungan Batu 7 Spring Hill. Malah, beberapa taman perumahan di Lukut turut mengalami banjir teruk.

Pengerusi Surau Al-Hijrah, Bandar Spring Hill, Ramli Ismail berkata, kejadian tanah runtuh itu disaksikan ahli keluarga yang terlibat dengan program berkhatan.

“Mereka memberitahu, semasa kejadian, kelihatan  pokok bergerak menggelongsor ke bawah dan kesemua yang sedang makan ketika itu lari meninggalkan makanan masing-masing menjauhi kawasan berkenaan bagi menyelamatkan diri.

“Ketika kejadian juga, aktiviti berkhatan yang berlangsung  dalam surau diberhentikan serta-merta.
“Bagaimanapun, keadaan kembali reda dan aktiviti berkhatan diteruskan selepas dipindahkan ke kawasan beranda surau yang agak berjauhan dengan kawasan tebing  runtuh itu,” katanya.

Ramli berkata, runtuhan yang berlaku  meliputi kawasan dapur dan dewan terbuka surau.

“Dan pagi ini (semalam) kami mendapati ada beberapa rekahan baru terbentuk dan ini memang mendatangkan kegusaran kepada kami ahli kariah di sini.

“Surau Al-Hijrah adalah tempat ibadah yang menjadi tumpuan umat Islam di sini dan turut mendapat kelulusan daripada jabatan agama untuk kami mendirikan solat Jumaat.

“Pasukan bomba dan penyelamat yang datang melakukan pemeriksaan memaklumkan kawasan dapur dan dewan terbuka tidak selamat. Sementara bangunan utama surau masih selamat dan dibenarkan untuk melakukan aktiviti surau, " katanya.

Ramli berkata, runtuhan berlaku sejauh hampir 50 meter dan bomba memaklumkan siasatan awal punca kejadian adalah disebabkan mendapan tanah.

Beliau berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan bagi menangani masalah tanah runtuh ini.

“Saya khuatir jika berlaku lagi hujan lebat, kejadian tanah runtuh ini akan semakin memburuk. Selain berlaku tanah runtuh di sini, tebing sungai yang dibina dengan konkrit juga turut runtuh.

“Sekurang-kurangnya terdapat 15 lagi buah rumah yang terletak di tebing sungai ini dan ia  menimbulkan kebimbangan penghuninya,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: