26 November 2012

Sejam terperangkap banjir kilat

Keadaan air Sungai Klau naik hingga melimpah ke atas jalan.12 Muharram 1433H. [MOD] -
 
Keadaan air Sungai Klau naik hingga melimpah ke atas jalan.
 
RAUB – Hujan lebat berterusan bermula dari jam 6 petang kelmarin mengakibatkan 263 penduduk Kampung Baru Sungai Klau terperangkap dalam banjir kilat kira-kira sejam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, air daripada Sungai Klau melimpah dan membanjiri lebih 80 rumah sekitar kawasan berhampiran.

Menurutnya, sebahagian rumah ditenggelami air antara 0.5 meter hingga satu meter mengakibatkan beberapa peralatan dan kelengkapan rumah rosak teruk.

“Pusat pemindahan sementara mangsa banjir dibuka di Tokong Sungai Klau tetapi ada juga beberapa keluarga yang terlibat tidak mahu berpindah.

“Kita tetap minta mereka untuk mendaftar di pusat pemindahan banjir bagi tujuan rekod semasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Mohd Samsudin berkata, air mula surut bermula dari jam 9.15 malam dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Katanya, sehingga jam 9.30 malam, 62 keluarga mendaftar melibatkan 263 mangsa keseluruhannya.

“Pemantauan berterusan dilakukan dari masa ke masa bagi memastikan keselamatan mangsa terlibat terjamin.

“Seramai 39 anggota keselamatan bertugas pada malam itu termasuk 21 polis, lapan bomba, lima Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lima pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata Wan Mohd Samsudin.

Beliau berkata, masyarakat daerah Raub terutama yang tinggal di kawasan rendah perlu peka terhadap perubahan cuaca terutama ketika musim tengkujuh.

sinar/-

Tiada ulasan: