13 Ogos 2009

BOIKOT COKE

Oleh : Zamri Keciks

ADUAN WEBMEL PPIM
TARIKH: 15 JANUARI 2009
TAJUK : BOIKOT COKE

Terikut dengan cadangan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, pada hari ini satu kempen memboikot restoran dan barangan buatan Amerika Syarikat dilancarkan.

Sebelum ini telah dimaklumkan bahawa, lebih 2,600 restoran Islam di Malaysia tidak akan menjual dan atau menghidang minuman Coca Cola sebagai tanda bantahan kepada Amerika Syarikat.

Saya hari ini mengambil keputusan untuk memboikot restoran yang memboikot atau enggan menjual Coca Cola, bukan kerana saya menyokong apa yang dibuat oleh Israel di Gaza kerana bersolidariti dengan pekerja-pekerja syarikat F&N Coca Cola Sdn Bhd dan lain-lain perniagaan yang berasal dari Amerika Syarikat yang menggajikan orang Melayu.

Mengikut laman web F&N Coca Cola Sdn Bhd, terdapat hampir 1,400 pekerja bekerja dengan syarikat F&N Coca Cola Sdn Bhd. Siapakah agaknya pekerja majoriti di syarikat tersebut? Melayu atau Bangla?.

Saya harap saudara pembaca tidak akan terburu-buru mengikut dan menyokong kempen memboikot Coca Cola dan lain-lain barang buatan Amerika Syarikat, tetapi renung sejenak bahawa yang akan mendapat tempias daripada kempen boikot adalah orang Melayu sendiri.

Cuba anda pergi ke Mc Donald. Siapakah majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.
Cuba anda pergi ke Pizza Hut. Siapakah majoriti pekerja di sana? Jawapan : MELAYU.
Cuba pergi ke Burger King. Siapa majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.
Pergi ke Starbuck. Siapa majoriti pekerja di sana? Jawapan : MELAYU.
Pergi ke KFC. Siapakah majoriti pekerja disana? Jawapan : MELAYU.

Apa yang saya ingin katakan disini ialah walaupun pada asasnya restoran-restoran ini sememangnya dari Amerika Syarikat tetapi pada hakikatnya kesemua restoran-restoran ini dimiliki oleh francais tempatan dan malahan ramai diantara pemegang francais adalah orang Melayu ataupun syarikat Bumiputera. Sebagai contoh KFC dan Pizza Hut di Malaysia dan Singapura dimiliki anak syarikat Johor Corporation. Sebagai anak Johor, takkanlah saya hendak melihat sebuah syarikat Johor terjejas perniagaannya.

Jadi sekiranya saya seorang India dan Kristian prihatin, mengapakah yang lain begitu bersedia dan mengajak orang ramai mengambil tindakan untuk menjejaskan perniagaan dimana majoriti pekerjanya adalah orang Melayu ataupun diusahakan oleh orang ataupun syarikat Melayu.

Kalau nak tunjuk belang, pandai-pandailah sedikit. Ini ibarat nyamuk, kelambu dibakar.

Tak ada cara lain ke nak tunjuk bantahan terhadap Amerika Syarikat.

Pernahkah mereka yang memulakan kempen memulaukan barangan dan restoran-restoran berasal dari Amerika Syarikat fikir apa yang akan terjadi jika perniagaan restoran-restoran ini merundum. Ada kemungkinan, pekerja-pekerja restoran ini akan diberhentikan ataupun dikurangkan waktu kerja mereka. Dalam keadaan sedemikian siapa yang susah. Keluarga pekerja ataupun penganjur kempen boikot?

Tidakkah, tuanpunya restoran takut bahawa mungkin ada orang yang akan sengaja memulau restoran Islam yang enggan menjual Coca Cola dan pergi ke restoran India atau Cina sebagai tanda protes mereka. Perlu ingat, bukan semua yang setuju dengan apa yang dibuat oleh Hamas. Lihat bagaimana kerajaan negara-negara Arab kecuali Iran yang membisu dan nyata tidak mahu menolong mahupun menyokong Hamas.

Mengapakah mereka yang melancarkan kempen boikot barangan Amerika Syarikat ataupun Coca Cola tidak memulakan boikot terhadap barangan keluaran Mesir dan Jordan. Tidakkah kedua-dua negara ini mempunyai pertalian diplomatik dengan Israel. Mengapa tidak lancarkan kempen boikot melancong ke Mesir ataupun Jordan.

Kesimpulannya ialah pendekatan memulau Coca Cola bukan satu strategi yang arif lebih-lebih lagi apabila yang berkemungkinan mendapat tempias ialah pekerja dan pengusaha Melayu.

(Diambil dari normanfernandez.blogspot.com)

Di sini saya ingin bertanya,saya salah seorang dari pekerja dari syrikat F&n coca cola (M)..yg membuat air coca cola yg di boikot oleh PPIM ini..masalahnya.
1) Haruskah saya dan kawan2 saya yg berugama islam berhenti kerja.
2)kalau jawapannya YA..siapakah yg akan menanggung keluarga kami,sekiranya kami berhenti kerja.
3)Haramkah gaji kami ini?
4)kalau jawapan nya Ya...kalau tak silap saya ada lebih 1400 org pekerja Islam yg bekerja di syarikat ini...ada yg bekerja lebih dari 30 tahun,maknanya kalau gaji kami haram...Fikirla sendiri.
Dan saya tidak menyokong apa yg israel buat kat Gaza!!!

JAWAPAN 1

SALAM....

Tahniah diucapkan kepada saudara yang mengambil keputusan memboikot restoran yang enggan menjual coca-cola kerana ingin bersolidariti dengan syarikat AS yang menggajikan orang-orang MELAYU.

Cuma saya ingin bertanya kepada saudara – agak-agaknya jumlah gaji 1,400 orang MELAYU yang dibayar oleh Coke itu adakah dapat mencecah jumlah gaji 10 orang ahli korporat mereka, atau katalah 5 % daripada keseluruhan dana yang berpindah ke Negara mereka?

Dan, daripada jutaan ribu dana itu, berapa peratus pula yang dikirim ke Israel untuk membantu membunuh umat seagama kita ? Sebenarnya ini bukan persoalan kehidupan sahaja. Bukan persoalan anak isteri dapat makan esok hari. Ia lebih dari itu. Ia melibatkan samada kita benar-benar merasa bahawa Islam itu perlu dibela atau tidak.

Islam dan Ummah yang diperlekehkan dan dihina. Samada kita dapat merasakan kesedihan, kemarahan dan dan kebencian sepertimana yang dirasa oleh saudara-saudara kita di Plaestine. KEBETULAN orang-orang MELAYU yang bekerja di F&N Coca Cola Sdn Bhd merupakan sebahagian daripada sumber tenaga mereka.

BUKAN di sana sahaja yang ada peluang bekerja… Kalau dibuat statistik, berapa puluhan ribu pula ORANG MELAYU yang diambil bekerja oleh pengusaha kilang JEPUN, KOREA, PERANCIS, JERMAN dan LAIN-LAIN Negara yang tidak bersekongkol dengan Negara Sombong dan Angkuh yang DILAKNAT OLEH ALLAH itu !! Kebetulan, mungkin daripada beribu-ribu perniagaan francais dari AS itu, saudara kata ”ramai” yakni, adakah sampai 2% dipegang oleh orang MELAYU?. Mungkin perniagaan ini dimiliki oleh dua tiga kerat yang elit-elit tu.

Tetapi ini tidak menggambarkan keadaan sebenarnya kedudukan ekonomi orang-orang MELAYU pada keseluruhannya. Oleh yang demikian, alangkah eloknya jika syarikat-syarikat ’kita’ itu memiliki francais kita sendiri untuk membela nasib kaum Bumi/Islam dan tidak berkiblatkan AS yang membela Zionis.

Kenapa orang Islam TIDAK MAMPU berniaga seperti BURGER KING, MC DONALD, PIZZA HUT dengan berpandukan FRANCAIS keIslaman ? Kenapa mesti berpandukan Francais Amerika Syarikat atau Kaum Zionis juga? Ini menunjukkan, umat Islam LEMAH se LEMAHNYA...

Sebab kita TIDAK BERSATU di dalam apa-apa tindakan yang dianjurkan – baikpun di negara-negara Arab, maupun di mana saja. Tidakkah kita TAHU, bahawa orang-orang bukan Islam, sudah L-A-A-M-A tidak membeli daripada perniagaan orang Islam ? Bukankah itu nyata-nyata satu tindakan memboikot?

Cuma orang-orang Islam sahaja yang rata-rata tidak peduli, malahan suka dan seronok membeli daripada perniagaan peniaga bukan Islam. Cuba fikirkan, kenapa peniaga Islam yang tulen tidak dapat naik dan maju ? Jawapannya kerana orang bukan Islam tidak akan memberi kerjasama dalam bentuk apa jua sekali pun, sepertimana mereka memberi dan bertolak ansur kepada sesama mereka...

Dan, yang lebih sedih, kerana orang Islam sendiri tidak menyokong. Tindakan memboikot ini sebenarnya BUKAN hanya bertujuan untuk menggugat sedikit sebanyak ekonomi musuh Islam, tetapi YANG PENTING ialah untuk menunjukkan BANTAHAN terhadap kebencian kita sebagai Umat yang sedang diperlakukan dengan sewenang-wenangnya seolah-olah nyawa umat Islam tidak ada harga walau satu sen !!

Apakah yang mampu kita, sesama umat ini, melakukan selain daripada menunjukkan rasa kebencian ini ? Agaknya bolehkah KERAJAAN kita sebagai Negara majoriti Islam, mengambil tindakan untuk memberhentikan hubungan diplomatik dengan mereka ? Saudara bertanya tidak ada cara lain ke !!

Kami sedia mendengar jika ada cara yang lebih baik dan lebih pandai ! Bukankah sepatutnya kita, dengan saudara seagama, diibaratkan satu tubuh..? Bukankah sesuatu perbuatan kejam itu hendaknya dihalang dengan apa jua kekuatan yang termampu? Patutkah kita berdiam diri sehingga perkara itu terjadi kepada anak isteri atau diri kita sendiri ??

Bukan hendak menunjuk belang. Kerana tidak ada ’belang’ lah maka kita anjurkan cara yang terkebawah. Tetapi, untuk berjaya, ia MEMERLUKAN WADAH DAN SUARA, SERTA TINDAKAN YANG BERSATU.

Perlu diingatkan bahawa merundumnya perniagaan dan ekonomi dunia sekarang, BUKAN kerana tindakan boikot kita! Ia telah bermula awal-awal lagi sebelum Israel menyerang Palestine. Jadi jika pemberhentian pekerja-pekerja itu terjadi, ia BUKAN digerakkan oleh tindakan boikot kita!

Sebagai bukti, tindakan memboikot itu BUKAN semua orang setuju. Termasuklah saudara ! Yang perlu diingatkan lagi ialah – setiap sesuatu yang berlaku itu BUKAN kerana tindakan kita secara terus, tetapi kerana KEHENDAK ALLAH.

Ramai manusia yang sejahtera sewaktu dunia gamat. Ramai juga yang gamat sewaktu dunia aman dan makmur. Pokok pangkalnya, di dalam hidup ini, samada kita ingin dan telah BERUSAHA untuk mencari keberkatan dan keredhoan Allah atau tidak.

Kita berusaha, dan kita berpendapat, jika Allah bertanya, apa yang telah kita lakukan sewaktu melihat dan mengetahui saudara-saudara kita, wanita, dan anak-anak kecil penyambung zuriat, di bedil dengan kejam, sekurang-kurangnya kita telah berusaha apa yang termampu, sebagai sedhaif-daif iman.

Kita tidak pun berkejar kesana dengan melaung jihad fisabilillah; kita tidak dapat mengirim wang sebanyak AS mengirim kepada Israel; kita tidak dapat mengirim sebilah senjata pun untuk mereka mempertahankan hak dan maruah mereka, yakni hak dan maruah kita juga. Mungkin kita boleh mengatakan YA ALLAH, kami tidak berdaya.

Namun kami menunjukkan kebencian kami kepada kaum YAHUDI dan NASRANI yang bersekongkol, dengan memboikot barangan mereka. Mereka memegang tampok ekonomi dunia. Namun segala kekuasan adalah di TanganMu. Wallahua’lam.

2) JAWAPAN 2

Islam ajaran syumul. meliputi aqidah, ibadah, ukhwah, akhlak, amar makruf nahi mungkar, iktisad, masyarakat, tarbiah, siasah, jihad, daulah dan sebagainya. Tidak berlaku kesempurnaan Islam jika tidak dilaksanakan seseluruhannya.Kesemua itu merupakan perintah Tuhan yang sama (Allah).

Tidaklah terlaksana kehambaan itu semata-mata dengan sembahyang atau puasa sahaja. Perintah Allah yang meliputi segenap bidang kehidupan itu terlalu banyak, dan semua itu menjadi ujian kepada hamba-hamba Nya yang beriman.

Lulus atau gagalnya seseorang hamba itu akan menentukan ganjaran buat nya di akhirat nanti, dan ganjaran itu, jika baik, bukanlah bandingan sekadar secawan kopi di kedai mamak, atau pun sebuah Proton Saga, manakala jika buruk pula bukan lah sekadar berlapar sehari atau dipenjarakan di penjara selesa di dunia ini, tetapi sebaliknya merupakan balasan yang tidak mampu dibayangkan oleh akal fikiran manusia.

Orang yang benar-benar beriman dan mengerti tentang hakikat tujuan hidup di dunia dan ganjaran di kehidupan akhirat akan sanggup mengorbankan keselesaan hidup didunia, semata-mata untuk mendapatkan keselamatan diakhirat. Islam tidak akan sampai kepada kita jika para pendakwah tidak sanggup meninggalkan keselesaan hidup menetap di negara sendiri.

Mereka mengharung lautan, menepuh kesusahan, meninggalkan anak isteri dan perniagaan, semata-mata kerana menunaikan perintah Allah. Apa pendapat kita, jika sewaktu Allah memerintahkan berhijrah kepada para sahabat, jika mereka enggan, tetapi sebaliknya mengutarakan soalan-soalan seperti:

"bagaimana dengan makan minum, kebun kurma dan perniagaan kami di mekah, tanah tumpah darah dan gelanggang rezeki kami? kami tak mahu ikut lah, malah kami akan buat gerakan anti hijrah, kerana hijrah ini menggugat kepentingan kami."

Jika menilai dari segi tuntutan Islam (perintah Allah yang diwajibkan), sepatutnya kita umat Islam pergi beramai-ramai bersama-sama berjihad (berperang menggadaikan nyawa) menunaikan tanggungjawab membebaskan Masjid Al-Aqsa dan membela nasib umat Islam di sana yang dijajah, dihina dan diseksa, dibunuh dan dinafikan hak dan maruah serta keperluan untuk hidup.

Kita perlu sedar bahawa tanggungjawab orang beriman bukan sekadar cari makan untuk hidup, seperti hal nya dengan haiwan. Orang kafir Amerika pun tahu nak membantu sekutunya Israil. Merera juga ada rasa 'persekongkolan' sesama mereka. Apakah kita tiada rasa terpanggil untuk membantu saudara-saudara kita sedangkan itu adalah sebahagian daripada perintah Allah (jika kita merasakan redha Allah itu ada harga dan kita mengharapkan nya)?

Bagaimana keadaan saudara jika peribadi saudara sendiri mengalami penderitaan seperti di Palestin? Katakanlah pemilik kilang Coca-cola dimana saudara bekerja itu, membunuh anak dan isteri saudara. Adakah saudara akan terus bekerja di kilang itu? Terpisahkah di antara persoalan pekerjaan dengan pembelaan dan maruah?

Sememangnya setiap tindakan secara mesyarakat itu akan menjejaskan sebahagian anggota, namun anggota itu tidak sepatutnya berusaha untuk menggagalkannya. kita sepatutnya bertindak diatas semangat dan kepentingan ummah. Baru ada solidarity, baru ummah ini kuat dan dihormati. Kalau tidak, nanti apabila Israil atau Singapura serang Malaysia, Indonesia pun tak sanggup walau nak susah sedikit bagi membantu kita.

Padanlah dengan kita yang tidak sanggup walaupun hanya sekadar diminta tolong boikot. Kita kena faham bahawa peperangan memerlukan wang. Wang itu mereka perolehi daripada perniagaan.

Patutkah kita menyokong perniagaan yang membiayai pembelian bom, yang akan digunakan untuk memusnahkan kehidupan orang Islam? Islam suruh cari rezeki yang halal dan baik .

Bukan sekadar cari makan. Kalau sekadar cari makan saja. Kilang arak pun menampung ramai pekerja. Institusi kewangan riba (interest) lagi banyak menampung pekerjaan.Ini (mencari yang halal) perintah Allah, dan kita kena ingat yang rezeki juga milik Allah. Begitu juga syurga dan neraka.

Coke bukanlan makanan yang baik- mengandungi berbagai bahan yang tidak baik untuk kesihatan. Kehalalannya diragui. Mengandungi alkohol yang sengaja dicampurkan kedalam nya. Kalau yang di fast food sehingga 3 peratus alkohol.

Pemiliknya Yahudi yang memusuhi Islam. Jika saudara berada didalam keadaan dharurat, daging babi pun boleh dimakan, tetapi, jika kita didalam keadaan yang boleh berusaha dan berikhtiar, carilah yang lebih baik daripada itu, dan, kepayahan saudara berikhtiar itu bukan percuma. Semuanya diberi ganjaran oleh Allah.

Dan ingatlah , Allah Maha Pemberi Rezeki.

Wassalam

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bila nak boikot 1 Malaysia yang tiru one Israel..

angah berkata...

boikot 1 malaysia je lah....

hehehehe

wan afiq berkata...

persoalan dan jawapan ada yang pro n kontra masing2..fikir n buat la keputusan mengikut kebijaksanaan msg2....

cokoh cik latih berkata...

budak ni memang tak reti bahasa,ingat nak isi perut dia saja,sedarlah sikit dah tahu kita tu jahil ikut ejalah seruan para Ulamak dan bijak pandai.Si celaka Yahudi tu memang allah dah sebut dalam al quran.tak kan tak reti lagi.

ayamtido berkata...

cokoh cik latih... jangan guna nama Al-Quran kalau tak paham apa ada kat dalam.. boleh jadi fitnah..

semua yahudi tu celaka ke..? nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa tu celaka ke..?

belajar Al-Quran dulu sebelum melatah..

Tanpa Nama berkata...

Cubalah cari kerja lain.. Kita wajib tinggalkan kerja jika ia dari sumber haram dan yang menyokong kezaliman terhadap orang islam.. Cuba tengok org2 yang ramai di sekitar tuan tu.. Jiran, saudara, adi beradik dan yang ramai kat tempat awam tu.. Mereka masih hidup dan dapat sara keluarga walaupun tak sama2 kerja di CocaCola atau McD dan lain2.. Betul tak? Allah maha adil dan Dialah pemberi rezeki, bukan makhlukNya.. Yang kena berhenti kerja pun boleh hidup asalkan usaha dan ikhtiar sungguh2... Fikirkanlah kawan2...

Ann berkata...

insyaallah kalo kita percaya dgn allah swt, pasti rezeki tu ade di mana2.....

armouris berkata...

coke/air tin ada terlalu banyak gula, bahaya untuk kesihatan. info tentang gula kat sini - Bahaya Gula

Qalesya Boutique berkata...

cokoh cik latih..pernah dengar ayat bodoh tak bleh nak ajar,cerdik tak bleh nak ikut..kat sini mmg la senang kita cakap nak boikot USA..saya berani kerat jari bahawasanya komputers yang suma saudara pakai pun buatan USA at least processor la..saya pernah dapat flyer dari bangsa saya sindri yang senaraikan suma brand yang patut di boikot..termasuklah intel..tapi tu la dia ta sedar lagi bodoh..dia buat presentation guna notebook yang sememang sahnya buatan amerika..so pikir2 kan lah..

Mudah di mulut..cuba letakkan situasi penulis di tempat anda...