26 Mac 2010

Rumah pemimpin PKR dibaling bom petrol

9 Rabiulakhir 1431H

Rumah seorang ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Badrul Hisham Shaharin dibaling bom petrol awal padi tadi, dipercayai perbuatan khianat.

Badrul yang juga pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata, beliau menyedari perkara tersebut ketika terjaga daripada timur kira-kira jam 1.30 pagi. Rumah beliau terletak di Taman Bukit Serdang, Seremban.

Sehubungan itu, beliau menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian itu dan membuat laporan di Balai Polis Seremban 2 kira-kira jam 3 pagi tadi.

“Kira-kira jam 1.30 pagi ketika saya sedang tidur bersama keluarga di rumah di Seremban, (saya) terkejut dengan bunyi kaca pecah.

“Sebaik sahaja membuka pintu rumah kelihatan dua tempat api sedang menyala dan salah satu daripadanya betul-betul bersebelahan dengan kereta,” laporan polisnya dipetik.

Bagaimanapun, tambahnya, sebaik sahaja keluar dari rumah, kesan kebakaran daripada sebuah bom petrol itu telah dipadamkan jirannya yang lebih dahulu menyedari perkara tersebut.

Dalam laporannya juga, Badrul memberitahu, jirannya memaklumkan, sebelum kejadian tersebut, dua lelaki dilihat menunggang motosikal sambil membaling bom petrol tersebut.

Menurutnya lagi, bom buatan sendiri itu jatuh di laman rumahnya, berdekatan dengan keretanya, menyebabkan berlakunya kebakaran kecil di lantai dan dinding berhampiran.

Beliau juga bersyukur kerana anggota keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Badrul terkenal di kalangan pemimpin pembangkan ekoran beberapa 'gimik' politiknya, termasuk menyambut ulang tahun kelahiran model Mongolia Altantuya Shaariibu di Putrajaya dan menghadiahkan bantal besar kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi perdana menteri.

Beliau yang bertanding dalam pilihan raya umum 2008 dan tewas ditangan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin di kawasan parlimen Rembau.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: