26 Mac 2010

Pengguguran Tengku Faris tidak sah - Setiausaha MPN

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 25 Mac: Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, pengisytiharan yang dibuat Datuk Wan Hashim Wan Daud yang melucut kedudukan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhamad Faris Petra (gambar) adalah tidak sah.

“Saya merujuk kepada salinan perisytiharan yang dibuat oleh YB Mulia Tengku Seri Utama Raja, selaku pengerusi Majlis Perajaan Negeri dan Wan Hashim bertarikh 24 Mac yang menamatkan pelantikan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja adalah sama sekali tidak mewakli keputusan Majlis Perajaan Negeri,” katanya kepada media di sini petang ini.

Kata beliau Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan Majlis Perajaan Negeri tidak akan menjadi sah dan terbatal melainkan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu.

Oleh itu katanya, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri telah bertindak secara bersendirian tanpa memanggil anggota-anggota Majlis Perajaan Negeri bersidang.

“Ini jelas bahawa tindakan di atas adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang tersebut dan ia tidak terpakai,” katanya ketika menunggu keberangkatan pulang Tengku Muhammad Faris Petra di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra petang ini.

Pagi tadi Wan Hashim yang mendakwa sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan mengumumkan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa hari ini. Beliau digantikan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah iaitu bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan.

Sedangkan semalam Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad menjelaskan hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Negeri mempunyai kuasa sekarang memandangkan Sultan Kelantan masih gering.

Mohd Aiseri yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK) berkata, Pemangku Raja dilantik di atas sebab Sultan gering dan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri.

Mengikut Perkara 22A(1)(b) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian Kedua, maka Pemangku Raja akan terus menjalankan tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehinga Majlis Perajaan Negeri membuat keputusan seterusnya berdasarkan undang-undang.

Mohd Aiseri juga berkata, majlis pengurniaan pingat dan darjah kebesaran sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan tetap akan diadakan di Balai Besar pada 30 Mac ini.

"Malam ini akan diadakan solat hajat di Masjid Muhammadi yang dijangka dihadiri pemimpin kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri berdiri teguh di belakang Pemangku Raja berdasar kepada peruntukan undang-undang.

Ditanya cadangan Kelab Penyokong Kerajaan Negeri supaya diadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri bagi menyelesaikan konflik membabitkan istana, katanya ia dianggap tidak perlu buat masa ini kerana undang-undang yang ada sudah cukup jelas.

Pengerusi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri, Shafei Ismail berkata, persatuan berkenaan tetap dengan berpendirian awal mendokong Pemangku Raja berdasar kepada undang-undang.

Harakahdaily/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DAULAT TUANKU...Kami semua rakyat kelate akan tetap berdiri teguh di belakang Tengku Mahkota (Pemangku Raja)...DAULAT TUANKU.

iz13_ogos@yahoo.com berkata...

MP Hulu Selangor meninggal dunia
Mac 25, 10 9:52pm
Ahli parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada jam 9.27 malam tadi di rumahnya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang akibat barah otak.

Beliau meninggalkan isteri Datin Siti Zaharah Mohd Zin dan empat orang anak.
Zainal Abdidin, 71 adalah juga bekas Timbalan Menteri Besar Selangor.

Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, beliau merupakan orang kuat Umno Selangor dan pernah menjadi Exco kerajaan negeri selama lapan tahun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Langat selama 14 tahun.

Antara jawatan exco yang dipegangnya termasuk
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.
Pada Mac 2005, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR.

Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi Hulu Selangor dengan mengalahkan calon BN dari pari MIC, P Palanivel pada pilihan raya umum yang lalu.

Kerusi itu berjaya dirampasnya untuk PKR dengan hanya majoriti 198 undi.
SELANGOR: P94 - Hulu Selangor Pengundi: 63,593
Parti Calon Undi Majoriti
MIC Datuk G. Palanivel 22,979
PKR Zainal Abidin Ahmad 23,177 198

Mengikut peraturan, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari setelah speaker Dewan rakyat dimaklumkan mengenai kekosongan kerusi berkenaan.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak bekas menteri besar Selangor itu dilaporkan uzur, khabar angin bertiup kencang bahawa Umno cuba mendapatkan kerusi itu semula yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

Tanpa Nama berkata...

ambo ore kelate sokong penuh Tengku Faris..
Daulat Tuanku