26 Mac 2010

Setiausaha Sulit Sultan umum Pemangku Raja Kelantan dilucutkan jawatan

Harakahdaily

KOTA BARU, 25 Mac: Setiausaha Sulit Sultan Kelantan yang perlantikannya dipertikaikan minggu lalu, Datuk Wan Hashim Wan Daud mengumumkan, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra dilucutkan daripada jawatan baginda sebagai Pemangku Raja negeri itu berkuat kuasa hari ini.

Pengumuman mengejutkan itu, yang dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan, diumumkan oleh Setiausaha Sulit baru Sultan Kelantan itu pada sidang media di sini sebentar tadi.

Dalam pada itu, Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan mencadangkan agar kerajaan negeri memanggil sidang tergembar DUN Kelantan untuk membincangkan perkembangan terbaru ini. Saranan itu dibuat dalam satu sidang media oleh Pengerusinya, Abdullah Yaakob, Adun Air Lanas.

Semalam, Pengelola Istana Kelantan memaklumkan, hanya Pemangku Raja dan Majlis Perajaan Kelantan mempunyai kuasa mengenai perkara ini kerana Sultan Kelantan masih gering.

Wan Hashim, dalam sidang medianya berkata, keputusan itu diambil selepas baginda mengingkari arahan Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan yang dijadual 30 Mac ini.

“Berikutan daripada keingkaran Yang Maha Mulia Pemangku Raja mematuhi titah perintah Sultan Kelantan agar tidak meneruskan sebarang bentuk perayaan termasuk penganugerahan darjah-darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan rasmi ke-60 baginda Sultan Kelantan serta di atas kegagalan Yang Maha Mulia Pemangku Raja memelihara, melindungi dan mempertahankan kehormatan diri dan Perlembagaan Negeri Kelantan, maka Duli Maha Mulia Sultan Kelantan dengan ini menamatkan pelantikan Yang Teramat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja,” kata beliau pada sidang media di Istana Mahkota, Kubang Kerian.

Keputusan ini diumumkan sehari selepas Tengku Muhammad Faris Petra mengumumkan bahawa Sultan Kelantan masih gering dan tidak boleh menjalankan tugas berhubung hal ehwal negeri mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan.

Semalam Tengku Muhammad Faris Petra bertitah bahawa mengikut klausa (1)(b) Artikel 22A undang-undang itu, baginda yang telah dipilih menjadi Pemangku Raja pada 24 Mei tahun lepas, kini menjalankan tugas-tugas pemerintah dan Yang Dipertuan Negeri sehingga Sultan Ismail Petra sembuh.

Dalam satu titah yang disampaikan oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad pada satu sidang akhbar di Istana Balai Besar semalam, baginda menegaskan bahawa sebarang kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak tanpa terlebih dahulu mendapat laporan perubatan daripada panel doktor pakar yang telah dilantik adalah tidak tepat, tidak sah dan tidak terpakai.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

haiiii....Wan Hashimm..Wan Hashimmm...tak habih-habih wat perangai... Yang dok pi ikut Tengku Anis tu buat apa?...Kemelut istana ni semenjak saya dan YTM Tengku Faris lahir lagi (1969)tak habih-habih sebab yang dua ni laa...Semoga YTM Pemangku Raja mendapat lindungan dan rahmat dari ALLAH sentiasa. Daulat Tuanku..Daulat Tuanku..Daulat Tuanku..- BPayong69

Tanpa Nama berkata...

UMNOkah yang buat kacau di dalam kemelut ini?

Tanpa Nama berkata...

ah sudah kijo...

Suhaimi Said berkata...

Gajah sama gajah, tak usah masuk campurlah

Tanpa Nama berkata...

hidup tengku mahkota!

Tanpa Nama berkata...

Berkubang lana doh..hidup YM Tg.Faris