27 Ogos 2010

Kafe tawar khidmat seks diserbu, 10 pelacur ditahan

16 Ramadhan 1431 H

Dengan berselindung di sebalik lesen perniagaan restoran, tetapi satu sindiket pelacuran ligat menjalankan kegiatan urut seks dan servis pelacur di sebuah bangunan berdekatan Taman Bukit Mayang, di Petaling Jaya sejak tiga bulan lalu.

Difahamkan pemilik restoran terbabit memperoleh lesen bagi menjalankan perniagaan makan dan minum di tingkat dua bangunan itu, tetapi telah menyalahgunakan lesen itu dengan menawarkan khidmat pelacuran kepada pelanggan di tingkat tiga bangunan berkenaan yang turut dilengkapi dengan asrama untuk pelacur terbabit.

Dalam serbuan yang dilakukan pada 9.30 malam tadi yang diketuai Pegawai Operasi, Asisten Komisioner Lim Chee Wah dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, seramai 10 orang pelacur warga asing ditahan.

Mereka yang berumur antara 20 hingga 38 tahun membabitkan lima orang warga Indonesia, empat orang warga Vietnam dan seorang warga China.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berumur 20 dan 40 tahun yang bertindak sebagai penjaga restoran berkenaan.

Katanya ketika diserbu, terdapat lima orang pelanggan di dalam premis berkenaan, bagaimanapun mereka dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

"Sebelum ini, serbuan yang sama telah dilakukan pada Mac lalu di restoran berkenaan namun kegiatan pelacuran masih lagi berlaku dan kita sedang memburu pemilik restoran bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan kerana terbabit dengan kegiatan pelacuran.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: