21 Ogos 2010

TANAH PERSATUAN INDIA DINDING: ZAMBRY JANGAN BOHONG RAKYAT

10 Ramadhan 1431H.

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) merasakan kenyataan penafian isu sebenar oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkaitan pembatalan proses pengambilalihan tanah seluas 2.02 hektar milik Persatuan India Dinding (DIA) di Manjung untuk membangunkan sebuah Sekolah Kebangsaan Simpang Empat atau lebih dikenali sebagai 'Sekolah Gandhi' adalah tidak benar sama sekali dan meragukan.

DPPN Pk melihat, latar belakang tanah tersebut yang dibeli oleh masyarakat India sebelum merdeka daripada wang sumbangan pekerja estet jelas bahawa tindakan meluluskan proses pengambilan tanah tersebut tidak melihat sejarah yang sebenar. Mengapa tidak dirujuk dahulu sejarah tanah tersebut sebelum Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri meluluskan proses pengambilalihan tanah tersebut pada awal Ogos yang lalu?

Sudah tentu Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu merujuk dahulu kerajaan negeri kerana kuasa berkaitan tanah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri melalui Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perak. Hanya Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang boleh meluluskan perkara tersebut setelah semua kajian yang di buat oleh Jabatan Tanah dan Galian. Adalah sesuatu yang pelik apabila kerajaan negeri telah pun meluluskan tapak tersebut tanpa berbincang dan merujuk kepada status tanah yang ada.

Amat memalukan rakyat Negeri Perak apabila sebuah kerajaan negeri tidak mempunyai sistem pengurusan yang baik. DPPN Pk kesal Datuk Seri Zambry mempolitikkan isu tanah ini dan cuba memburukkan pihak lain yang membetulkan kesilapan mereka dan juga hak kepada yang sepatutnya. DPPN Pk mendesak Datuk Seri Zambry memohon maaf kepada Persatuan India Dinding, masyarakat India dan juga seluruh rakyat di atas pembohongannya.


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Setiausaha,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.

Tiada ulasan: