17 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
AMPANGAN – Hanya kerana menegur jiran sebelah yang dilihat kurang prihatin meletakkan bahan binaan untuk mengubahsuai rumahnya sesuka hati, seorang ibu tunggal dimaki hamun selain turut diugut akan dipukul.
Tidak tahan dengan karenah jiran yang suka membuat kacau, ibu tunggal terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Zahara akhirnya membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan diri dan anaknya.
Malah, kerja pengubahsuaian yang dilakukan jirannya itu menyebabkan bumbung dan syiling rumahnya mula mengalami kerosakan.
“Saya dan anak sampai di rumah kira-kira jam 5 petang dan secara tiba-tiba ditegur dengan kasar oleh jiran terbabit. Saya memberitahunya air telah masuk ke garaj rumah saya akibat kerja pengubahsuaian yang sedang dilakukan.
“Jiran saya itu mengatakan kontraktor masih belum menyiapkan kerja tersebut dan saya turut dituduh menggunakan bomoh Siam disebabkan semua orang sudah tahu. Saya juga mempunyai perasaan dan melawan cakap jiran itu,” katanya.
Disebabkan tidak mahu perkara itu berlarutan, anak Zahara menghubungi pihak polis dan dia diminta untuk membuat laporan di balai polis sebelum beberapa pegawainya datang membuat tinjauan.
Malah katanya, sebelum ini juga, beberapa laporan polis dan aduan kepada pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) telah dibuat, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.
“Anak saya turut menghubungi MPS bagi menyatakan rasa tidak puas hati disebabkan jiran telah membina dinding di sempadan rumah tanpa kebenaran bertulis.
“Selepas itu, MPS menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh Jabatan Bangunan dan notis meroboh serta kompaun telah dikeluarkan.
“Namun, kerja pengubahsuaian terus dilakukan dan saya harap MPS dapat mengambil tindakan seperti apa yang dimaklumkan,” katanya.
Zahara berkata, sekiranya perkara ini berlarutan, dia dan anaknya berkemungkinan akan membawanya ke mahkamah berikutan keselesaannya untuk terus tinggal di situ terjejas.
Selain itu katanya, dia percaya nilai rumahnya juga turut jatuh jika jirannya tidak mahu bertanggungjawab terhadap kerosakan yang terpaksa ditanggungnya itu.
“Saya mahu jiran saya bertanggungjawab dan membaik pulih rumah saya secepat mungkin sebelum keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Sinar Harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan