20 Mei 2011

Krisis di Libya makin kritikal

17 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Krisis yang berlarutan di Libya kini menjadi amat kritikal, apabila pemerintah diktator Libya, Muammar Ghadafi terus melakukan serangan dan kekejaman terhadap rakyatnya, walaupun berhadapan dengan serangan tentera NATO yang diketuai Amerika Syarikat dan Britain.

Sehubungan itu, ratusan orang awam terbunuh dan cedera setiap hari akibat serangan yang dilalukkan oleh tentera yang setia kepada rejim diktator itu.

Ketua Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kota Benghazi yang merupakan kota kedua terbesar di Libya kini menjadi 'markas tentera revolusi rakyat' bagi menentang Ghadafi.

Menurut beliau, terlalu banyak kesan kemusnahan yang berlaku di sekitar kota tersebut akibat pertempuran yang berlaku antara tentera rejim Ghadafi dengan 'tentera rakyat' yang bangkit menentang rejim kejam itu.

Katanya, ribuan anak-anak muda bangkit di kota Benghazi dengan keluar beramai-ramai secara aman ke jalan-jalanraya untuk menumbangkan pemerintahan rejim Ghadafi, dengan berbekalkan semangat kebangkitan yang berlaku di Tunisia dan Mesir.

"Mereka hanya bersenjatakan slogan 'keluar kamu dari Libya' dan 'kuasa rakyat' serta mengadakan demonstrasi membantah kekejaman rejim diktator itu," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang turut berkunjung ke Cairo hari ini untuk menghadiri mesyuarat gerakan Islam sempena pelancaran parti baru Ikhwan Muslimin Mesir berkata, pemuda-pemuda itu akhirnya telah berjaya menumbangkan pentadbiran tentera yang setia kepada Ghadafi.

Katanya, yang penting, 'rasa takut' mereka telah hilang demi mengembalikan maruah dan mendapatkan kembali hak serta kebebasan mereka.

"Semasa kunjungan singkat saya ke sana, saya dapat melihat ratusan anak-anak muda yang sedang berbaris di kem tentera untuk mendaftar diri menjadi sukarelawan bagi menentang tentera Ghadafi.

"Mereka berbaris berjam-jam hanya untuk mendapatkan giliran bagi dilatih menggunakan senjata-senjata ringan seperti pistol dan senapang yang ditinggalkan oleh tentera Ghadafi yang belot dan kini berjuang bersama rakyat," katanya.

Walaupun serba kekurangan semasa menghadapi ancaman serangan dari tentera Ghadafi, menurut beliau, semangat yang ditunjukkan oleh anak-anak muda itu adalah amat tinggi.

Matlamat utama mereka adalah membebaskan Libya dan rakyatnya dari kekejaman rejim kuku besi Ghadafi yang telah berkuasa lebih 40 tahun.

'Tentera rakyat' yang diwujudkan itu terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, dari petani, buruh dan penganggur membawa kepada pensyarah universiti, doktor dan ahli korporat yang kesemuanya bersatu dengan satu tekad untuk membebaskan bumi Libya dari kekejaman Ghadafi.

Menurutnya, dari sudut kemanusiaan pula, menurut pegawai perubatan dan kumpulan hak asasi manusia yang sempat ditemuinya, sejak kebangkitan rakyat berlaku di seluruh Libya, dianggarkan lebih 2000 penduduk awam telah terbunuh dan lebih 5000 orang awam kini menjadi tahanan di bawah tentera Ghadafi.

Di dua hospital terbesar di kota Benghazi, doktor-doktor kini berhadapan dengan kekurangan ubat dan kelengkapan perubatan bagi menampung mangsa yang tercedera dalam pertempuran yang berterusan di bandar-bandar yang berdekatan dengan Benghazi.

Kota Misarata yang terletak di barat Benghazi kini masih terus menjadi medan pertempuran yang sengit antara tentera rakyat dan tentera rejim Ghadafi.

"Ramai rakyat awam yang cedera dan terpaksa dipindahkan dan kini ditempatkan di Hospital Benghazi. Doktor-doktor dan pegawai perubatan terpaksa berkerja siang dan malam bagi menyelamatkan nyawa ratusan rakyat awam yang tercedera akibat serangan berterusan tentera Ghadafi.

"Sebahagian dari mangsa yang tercedera juga sempat dipindahkan ke hospitak di Turki melalui kapal-kapal bantuan kemanusiaan yang disediakan oleh kerajaan Turki," jelasnya.

Kini, katanya, Benghazi ditadbir di bawah kerajaan sementara yang menubuhkan 'majlis syura kepimpinan negara' yang diwakili oleh pimpinan masyarakat serta wakil-wakil kabilah yang berpengaruh.

Segala urusan harian kerajaan di Benghazi ditadbir di bawah majlis itu dengan bantuan serta sokongan majoriti rakyat di seluruh Benghazi.

"Seluruh lapisan masyarakat di Benghazi telah memberikan kerjasama yang baik, walaupun mereka menghadapi pelbagai ancaman serta serba kekurangan akibat konflik yang berlaku," jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Manakala di peringkat antarabangsa, negara-negara Barat pula telah mengambil ketetapan terhadap keputusan yang dibuat pada sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 Mac 2011, dengan Amerika Syarikat berserta Britain dan Perancis telah mendapatkan kebenaran untuk menyerang dan mengebom Libya melalui 'Operasi Odyssey Dawn'.

Mandat yang diluluskan oleh PBB itu, katanya, adalah untuk memaksa Ghadafi menghentikan serangan ke atas rakyatnya sendiri dan berundur dari jawatan beliau.

Ia bertujuan untuk menyelamatkan rakyat Libya dari pembunuhan beramai-ramai tentera rejim Ghadafi serta mengenakan tekanan ketenteraan bagi memastikan Ghadafi meletakkan jawatan.

"Namun banyak persoalan yang timbul selepas penglibatan Amerika Syarikat dan sekutunya ini. Apakah corak pemerintahan Libya selepas Ghadafi?

"Apakah sistem demokrasi akan dilaksanakan di Libya ataupun akan menjadi seperti Afghanistan atau Iraq dengan campurtangan dan penjajahan tentera asing yang berpanjangan di sana?

"Bagaimana pula dengan penguasaan hasil minyak dan gas di Libya? Apakah Amerika Syarikat dan Perancis akan turut juga menguasai hasil bumi Libya itu? katanya.

Realitinya, jelas beliau, campurtangan kuasa asing itu pada hakikatnya bukan secara mutlak mahu membantu serta menyelamatkan rakyat awam Libya, tetapi ia tidak lebih daripada penguasaan strategik kuasa-kuasa besar ke atas Libya serta mahu menguasai hasil minyak dan gas yang amat penting bagi ekonomi dunia.

"Bagi Barat, tidak wujud istilah hak asasi dan kebebasan apabila mereka mempunyai kepentingan strategik serta kekayaan hasil bumi yang Libya miliki," katanya.

Namun, rakyat Libya hanya mahukan hak serta maruah mereka dikembalikan. Mereka mahukan kebebasan dan keadilan sepertimana yang dikecapi oleh rakyat di negara-negara Barat.

Mereka mahukan hasil kekayaan negara diagihkan secara adil dan telus kepada seluruh rakyat Libya. Mereka juga mahukan suara mereka didengar secara adil.

"Bagi saya, 'Kuasa Rakyat' akan menjadi penentu kepada masa depan Libya yang baru," tegas beliau.

Harakahdaily/-
Oleh : Aziz Muda

Tiada ulasan: