01 Ogos 2011

Kenapa masih pertikai acara tengok anak bulan?


01 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Ust. Ahmad Baei Jaafar

Mungkin anda pernah berkata, kenapa nak bazirkan wang rakyat dengn pergi tengok anak bulan. Tentu banyak belanja; kos kenderaan, minyak dan makanan, padahal keputusannya sudah kita tahu.

Ada juga yang berkata, tengok anak bulan hanya syarat saja, sedangkan hari puasa atau raya sudah ditetapkan, tarikh itu tidak akan diubah kerana jika berlaku perubahan boleh merosakkan perancangan raya pada pihak kerajaan.

Tidak kurang juga yang berkata kenapa tidak ikut kelender sahaja, biasanya tepat. Dengan ini tidak banyak belanja.

Kata-kata ini lahir daripada mereka yang keliru dengan hukum Islam dan keputusan kerajaan. Sesetengah orang menyangka kerajaan ada kuasa sesegalanya. Malah mereka menyangka kerajaan yang buat keputusan dan ulama terpaksa ikut. Pandangan ini sebenarnya satu penghinaan terhadap kerajaan juga satu penghinaan terhadap ulama.

Sebenarnya dalam menentukan hari raya dan puasa telah dipersetujui satu kaedah yang menepati sunnah. Kaedah tersebut berbunyi, penentuan puasa dan raya berdasarkan rukyah dan hisab.

Hujah tersebut bersumberkan hadis Nabi Muhammad S.A.W.

عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي (ص) قال: صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته، فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوماً. رواه البخاري ومسلم.

Daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda: “Berpuasalah kamu setelah kamu melihat anak bulan (Ramadan), dan juga berbuka puasalah (beraya) kamu setelah melihat anak bulan (Syawal), sekiranya ia terlindung dari pandangan kamu, maka sempurnakan bilangan hari bagi bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari ).” (Riwayat Bukhari da Muslim)

Menurut hadis tersebut Ramadan dan Syawal perlu ditentukan dengan melihat anak bulan. Tetapi apabila tidak kelihatan maka cukupkan Syaaban atau puasa sebanyak 30 hari. Ertinya anak bulan perlu dilihat pada hari 29. Namun untuk merealisasikan ini, kepakaran ilmu falak diperlukan kerana mereka inilah yang menentukan kedudukan anak bulan ternasuk waktu yang sepatutnya dilihat.

Walau bagaimanapun keadaan cuaca dan iklim di negara ini pada waktu ini tidak menentu dan keadaan ini menyukarkan anak bulan dilihat walaupun pada kiraan falak anak bulan boleh kelihatan, maka kaedah di atas ditambah seperti berikut, “jika mengikut perkiraan falak anak bulan boleh kelihatan tetapi secara rukyahnya tidak kelihatan maka pandangan falak diterima. Dan jika mengikut perkiraan falak anak bulan tidak boleh kelihatan, tetapi secara rukyah berjaya melihat anak bulan maka rukyah diambil kira.”

Berdasarkan itu, kalau anak bulan mengikut perkiraan ahli falak boleh nampak, maka esoknya sudah pasti berpuasa atau raya. Namun rombongan melihat anak bulan itu tetap wajib pergi untuk mengesahkan anak bulan boleh kelihatan. Tetapi jika mereka tidak nampak juga, maka perkiraan falak hendaklah dipakai.

Dalam keadaan lain pula kalau pada perkiraan falak anak bulan tidak boleh kelihatan kerana tidak cukup umur sebagai contoh, rombongan melihat anak bulan masih wajib pergi untuk melihat anak bulan pada hari 29. Mereka perlu mengesahkan sama ada nampak atau tidak. Jika dalam keadaan itu mereka boleh nampak anak bulan maka esoknya perlu puasa atau raya. Tetapi jika sebaliknya, tidak nampak anak bulan, maka esok adalah 30 Syaaban atau Ramadan.

Berdasarkan pengalaman dan kepakaran ahli falak sehingga ke hari ini yang mereka tidak pernah gagal dalam kajiannya, terutama dalam penentuan gerhana matahari dan bulan, juga penentuan wakut solat, maka kaedah dalam menentukan puasa dan raya boleh diterima pandangan falak.

Selain itu dengan kaedah ini juga mampu memberi peluang persiapan kepada umat Islam sama ada untuk berpuasa atau raya. Mereka tidak perlu lagi menunggu bila akan diistiharkan puasa atau raya. Sebagai asasnya mereka sudah boleh berpegang kepada pandangan falak.

2 ulasan:

tnZackJ berkata...

satu ulasan yang baik. tahniah

Tanpa Nama berkata...

Itu satu pandangan. Diharap pihak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pihak Mufti Malaysia sudi apalah kiranya memberikan pandangan. Begitu juga dengan Persatuan Ulama Malysia. Pernah berlaku di tahun 70an kekecohan penentuan penentuan puasa/Aidil-Fitri di mana anak bulan tidak kelihatan tetapi diisytiharkan hari raya. Seingat saya sehingga hari ini belum ada penjelasan yg detail tentang hal ini. Janganlah krn nak pilih jalan mudah terus dibuat ketetapan berpuasa/berhari raya. Wallahu-'alam