10 Oktober 2011

Batu nisan pula dirosakkan oleh pelampau Yahudi

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

LELAKI Palestin menunjukkan batu nisan yang diconteng dengan ayat Hebrew bermaksud 'Maut Kepada Arab' di Jaffa di Tel Aviv, kelmarin. - REUTERS

TEL AVIV 9 Okt. - Berpuluh-puluh batu nisan dirosakkan di tanah-tanah perkuburan Islam dan Kristian yang terletak bersebelahan di Jaffa manakala sebutir bom petrol dilontar ke sebuah rumah ibadat Yahudi di bandar di selatan Tel Aviv itu, semalam.

Pada hari Yom Kippur (Hari Penebusan Dosa) penganut Yahudi itu, sekurang-kurangnya lima batu nisan dipecahkan dan kira-kira 20 lagi disembur dengan grafiti berbahasa Hebrew, termasuk 'Maut kepada Arab' dan 'Tanda Harga', iaitu slogan yang digunakan oleh pendatang haram Yahudi dan penyokong mereka di Tebing Barat.

Polis menggambarkan insiden 'tanda harga' sebagai perbuatan membalas dendam oleh pelampau Yahudi terhadap penduduk Palestin atau Arab, dan istilah itu selalunya merujuk kepada serangan pendatang haram Yahudi ke atas penduduk Palestin atau harta mereka di Tebing Barat, termasuk dengan membakar masjid.

Jurucakap polis, Micky Rosenfeld berkata, sebutir bom petrol turut dilemparkan ke bumbung sebuah rumah ibadat Yahudi di kawasan Jaffa tetapi tidak menyebabkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa.

"Kami sedang menyiasat pihak yang bertanggungjawab merosakkan batu nisan itu," katanya.

Beberapa puluh penduduk Israel dan Palestin keluar memprotes serangan itu dan seorang anggota majlis perbandaran tempatan menyalahkan pendatang haram Yahudi.

Jaffa yang merupakan kawasan purba di Tel Aviv mempunyai penduduk terdiri daripada penganut Yahudi dan orang Arab yang beragama Islam dan Kristian.

Isnin lalu, sebuah masjid di kampung Badwi di utara Israel dibakar dan grafiti disemburkan pada dindingnya dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh pendatang haram Yahudi. - Reuters

Tiada ulasan: