10 Oktober 2011

Petani dakwa benih padi tak cukup

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) akan mengkaji rungutan sesetengah petani yang mendakwa bekalan benih padi tidak mencukupi di beberapa kawasan Mada dan luar kawasan Mada sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom berkata berdasarkan laporan daripada pengeluar-pengeluar benih padi, tiada masalah tentang kekurangan bekalan benih padi.

"Kita mempunyai tiga pengeluar benih padi iaitu SPPM, Seri Merbok dan Bernas dan semua mereka mengatakan bahawa bekalan benih padi mencukupi malah mempunyai stok yang lebih.

"Kita hairan sekarang ini bagaimana sesetengah pihak mendakwa benih padi tak cukup sedangkan laporan daripada Jabatan Pertanian pun mengatakan bekalan benih padi memang ada," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bekalan benih padi di Ibu Pejabat Mada dekat Alor Setar semalam.

Beliau berkata bagi satu musim, kawasan Mada memerlukan benih padi sebanyak 14,000 tan manakala 5,000 tan diperlukan bagi kawasan luar Mada di Kedah dan 2,000 tan diperlukan bagi kawasan luar Mada di Perlis.

Johari berkata antara kawasan yang dilaporkan menghadapi masalah bekalan benih padi ialah Simpang Empat, Perlis (Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E-1), Kangar (PPK C1) dan Simpang Empat Kuar (PPK F-2) bagi kawasan Mada dan bagi kawasan luar Mada pula ialah di Langkawi, Asun dan Changlun.

"Bagaimanapun, saya dah minta pihak Mada dan PPK buat pemantauan, kita nak lihat di mana kekurangannya. Kita akan minta pihak PPK bekalkan dahulu benih padi kepada petani untuk sementara waktu," katanya.

Bernama/-

Tiada ulasan: