12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
IPOH – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan menyokong penuh pelantikan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan kembali Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 kelak.
Katanya, semua pimpinan tertinggi parti berkenaan juga telah menyuarakan persetujuan untuk menyokong Mohammad Nizar bagi menjawat jawatan berkenaan setelah memikirkan kesesuaian calon sedia ada.
Menurutnya, DAP di peringkat negeri juga berjanji untuk memberi sokongan penuh kepada Mohammad Nizar bagi menjawat semula jawatan berkenaan.
“Kita sentiasa sokong Nizar sebagai Menteri Besar kerana beliau adalah calon yang paling layak untuk menjawat jawatan tersebut.
“Yang penting bagi kita adalah untuk terus berjuang untuk membela nasib rakyat di negeri ini,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Tahunan DAP Negeri Ke-16 di sebuah hotel di sini, semalam.
Terdahulu, Guan Eng berkata, isu hukum hudud yang diperkatakan pada hari ini adalah mainan pihak media biarpun sebenarnya ia tidak terkandung dalam manifesto atau Buku Jingga Pakatan Rakyat (PR).
Menurut Guan Eng, dirinya juga sedia meletak jawatannya sebagai Setiausaha Agung DAP bersama dengan 30 ahli jawatankuasa tertinggi parti sekiranya pelaksanaan hukum hudud wujud dalam manifesto berkenaan.
“Kita (DAP) tak terima hudud, tetapi dalam PR, kita boleh bekerjasama dalam isu-isu lain berdasarkan kepada prinsip yang telah kita persetujui bersama,” katanya.
Sementara itu ketika berucap pada konvensyen tersebut Guan Eng menyeru rakyat untuk mengundi PR pada PRU akan datang.
Katanya, rakyat juga sewajarnya memberi peluang kepada barisan kepimpinan tertinggi PR untuk mentadbir negara berdasarkan kepada kejayaan mereka mentadbir di tiga buah negeri sebelum ini.
“Rakyat perlu berani membuat perubahan dan mengundi PR,” katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan