10 Oktober 2011

Kenaikan elaun MP ditarik balik

12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz hari ini mengumumkan bahawa cadangan untuk menaikkan elaun ahli parlimen telah ditarik balik.

Katanya, tindakan itu dilakukan ekoran kenyataan beberapa pemimpin pembangkang yang membantah usaha berkenaan diteruskan.

"(Kenyataan ahli parlimen pembangkang) merupakan bukti bahawa saya tidak mendapat sokongan pembangkang seperti yang saya janjikan kepada perdana menteri pada Jumaat.

"PM dengan niat baik telah menjalankan tanggungjawabnya (mengumumkan kenaikan elaun dalam bajet), tetapi saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab saya.

"Jadi saya tiada pilihan, saya menarik balik permohonan saya supaya peruntukan dalam Bajet 2012 menaikkan peruntukan itu," katanya.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kenyataan oleh barisan ahli parlimen Pakatan Rakyat, termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Azmin Ali, Salahuddin Ayub dan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengulas pembentangan bajet 2012 oleh perdana menteri.

Jelasnya, cadangan kenaikan elaun tersebut, melibatkan jangkaan peruntukan sebanyak RM30 juta, telah dikemukakan pada saat terakhir sebelum perdana menteri membentangkan belanjawan berkenaan Jumaat lalu.

Cadangan berkenaan juga telah dipersetujui oleh satu jawatankuasa kecil yang turut dianggotai ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Saya percaya ramai ahli parlimen yang gembira pada hari itu (pembentangan bajet) sebab kenaikan (elaun) itu tidak boleh menjadikan kita kaya.

"Ia hanya boleh membantu meningkatkan perkhidmatan ke kawasan kita," katanya lagi.

Mohamad Nazri berkata, beliau telah memasukkan kos untuk menyewa premis untuk pusat khidmat, pemandu dan pembantu penyelidik.

Jelasnya, parlimen tidak boleh menggaji penyelidik berkenaan kerana penyelidik itu hanya bekerja ketika parlimen bersidang selama 20 minggu setahun.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: