12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PULUHAN jenis bunga berwarna-warni pasti menyebabkan pelanggan rambang mata dalam membuat pilihan.
DARI jauh, kelihatan orang ramai terutama wanita sudah memenuhi ruang kecil di sebuah kedai yang menawarkan pelbagai jenis bunga berwarna-warni.
Sebaik sampai di hadapan kedai tersebut, bau semerbak daripada bunga-bungaan segar itu pantas menusuk hidung seolah-olah menyambut kedatangan pelanggan ke sana.
“Jemputlah masuk dan lihat sendiri bunga yang mungkin anda minati. Jangan risau, jangan bimbang, semua bunga ini segar-segar belaka,” demikian tutur seorang pemuda Cina sambil melemparkan senyuman manis kepada pengunjung yang datang.
Segak dengan penampilan kemeja-T hitam dan jean biru, pemuda berusia 31 tahun itu ramah melayan pelanggan yang berkunjung ke kedai miliknya, Ken Highlands Flower Shop yang terletak di pasar Brinchang, Cameron Highlands.
Menurut Ken Foo, kedainya menjual pelbagai jenis bunga segar yang diperoleh daripada lebih 10 pembekal di sekitar kawasan tanah tinggi tersebut.
Mula berniaga secara kecil-kecilan pada tahun 2003, kini perniagaan jualan bunga yang dilakukan bersama seorang rakan semakin berkembang dan mendapat tempat di hati pelanggan.
“Terdapat puluhan bunga segar ada dijual di sini termasuk bunga ros, matahari, kekwa, pom pom, lili, daisy, teluki dan banyak lagi. Setiap bunga pula mempunyai beberapa perbezaan contohnya warna yang mampu membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih bunga yang disukai.
“Setakat ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan terutama ketika musim cuti persekolahan, cuti umum dan hujung minggu. Setiap hari kami juga mampu menjual lebih 100 batang bunga. Ini tidak termasuk penghantaran yang dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Perak,” jelas Ken lebih lanjut.
Antara bunga lain yang ada seperti bunga yang diberi nama Everlasting Love yang amat diminati pelanggan kerana bau yang kuat dan tahan lama. Malah, jika dijaga dengan teliti bunga itu boleh bertahan dan hidup sehingga beberapa tahun.
Selain itu, tambah Ken kedainya turut menjual bunga lalang yang semakin popular di Cameron Highlands. Bunga tersebut dibekalkan oleh Orang Asli di sekitar kawasan itu.
“Terdapat tiga jenis bunga lalang yang dijual iaitu lalang rumput, lalang lidi dan lalang emas. Apa yang pasti, bunga ini mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri.
“Apabila saya mengambil bekalan bunga lalang daripada Orang Asli, secara tidak langsung saya dapat membantu mereka menambah sumber pendapatan yang biasanya menjual petai dan ulam-ulaman,” ungkap Ken lagi.
Faktor cuaca
Di samping bunga-bunga segar, kedai Ken turut menjual pelbagai variasi bunga kering, daun teh, daun paku, daun asparagus dan daun ekor musang yang boleh dijadikan potpouri atau hiasan di dalam rumah.
Bagi rakan kongsi Ken, Leong Chang, 35, kebiasaannya pada bulan Oktober hingga Disember, bekalan bunga agak berkurangan kerana faktor cuaca yang sering hujan. Ini menyebabkan harga menjadi lebih tinggi berbanding biasa.
Sementara pada bulan April hingga Ogos, cuaca baik sekali gus bekalan bunga tidak putus dan sentiasa ada. Justeru, harganya tidak terlalu tinggi.
“Begitu juga pada hari-hari keraian istimewa seperti Hari Kekasih, Hari Ibu dan sebagainya, harga bunga akan melonjak daripada biasa.
“Tidak ketinggalan, apabila tibanya musim perkahwinan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, kami akan banyak melakukan penghantaran bunga di sekitar Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah,”
katanya sambil memberitahu kunjungan seseorang ke Cameron Highlands tidak akan lengkap tanpa membawa pulang bunga segar sebagai kenangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kedai bunga Ken, layari laman sosial Facebook/kenflowershop.
Kosmo/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan