12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
PEKAN - Empat nelayan bot kelas A mengalami kerugian RM140,000 selepas empat bot nelayan milik mereka musnah terbakar dipercayai di panah petir kelmarin.
Syed Mohd Khusairi Syed Abd Rahman, 46, berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, empat bot nelayan tempatan kelas A yang ditempatkan di jeti Kampung Marhum, Pekan, terbakar.
Menurutnya, ketika kejadian dia baru sahaja sampai ke rumah di Kuala Pahang selepas menyediakan persiapan seperti minyak diesel, umpan memancing dan air batu sebelum ke laut.
“Sebaik tiba di tempat kejadian saya terkejut dan sedih apabila melihat hampir keseluruhan bot saya musnah manakala tiga bot lain sedang terbakar.
“Saya berusaha memadam kebakaran tetapi situasi menjadi sukar disebabkan angin kencang tetapi minyak diesel dalam tong simpanan di setiap bot menyebabkan api mudah merebak selain sukar untuk dipadamkan,” katanya yang mengalami kerugian lebih RM50,000.
Katanya, akibat kejadian itu, dia kini hilang punca pendapatan untuk menyara keluarga selepas bot yang sebelum ini digunakan untuk menangkap ikan di laut kini rentung selepas terbakar.
“Pelbagai peralatan lain seperti joran, mesin mengesan ikan, peralatan perhubungan dan sistem pengesan global (GPS) yang digunakan untuk mencari rezeki musnah dalam sekelip mata.
“Saya kini hilang pendapatan dan buntu memikirkan sumber kewangan untuk menyara keluarga, aktiviti memancing ikan di laut yang dilakukan lebih 30 tahun kini tidak dapat dilakukan,” katanya.
Syed Mohd Khusairi berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari satu daripada bot yang dipanah petir dan api kemudian cepat merebak menyambar bot yang terletak berhampiran.
“Saya merayu pihak yang prihatin dapat menghulurkan bantuan untuk kami memulakan semula hidup sebagai nelayan yang dilakukan sejak turun temurun,” katanya.
Rakannya, Abdul Ghafar Ismail, 52, berkata kejadian berlaku begitu pantas dan dia tidak sempat menyelamatkan bot yang menjadi sumber rezeki musnah dalam sekelip mata.
“Saya seperti jatuh ditimpa tangga, selepas terpaksa berkorban menjaga isteri yang diserang strok dua tahun lalu kini bot bernilai lebih RM30,000 musnah,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peramu Jaya, Ibrahim Awang Ismail, yang melawat mangsa berkata, pihaknya simpati dengan kejadian yang berlaku menyebabkan mereka hilang sumber pendapatan.
Katanya, dia akan berusaha membantu meringankan beban ditanggung nelayan terbabit yang kini tidak dapat lagi turun ke laut melakukan aktiviti memancing yang dilakukan sejak turun temurun.
“Saya simpati dengan kejadian yang menimpa mereka, saya akan berhubung dengan kementerian bertanggungjawab bagi mengetahui bentuk bantuan yang sesuai boleh diberikan.
“Saya yakin penyelesaian membela nasib mereka akan dapat dicari dalam tempoh terdekat dengan sokongan pelbagai pihak,” katanya.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan