12Zulkaedah 1432H. [MOD] -
BAHAU- Seorang askar maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan bertembung lori tangki dari arah bertentangan di kilometer 8 Jalan Bahau-Rompin, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 pagi itu, mangsa, Lim Linggan, 26, yang menunggang motosikal sendirian dalam perjalanan pulang ke Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd Sabri Muhamad berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 datang dari arah Bahau.
“Mangsa yang tiba-tiba hilang kawalan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung lori tangki terbabit.
“Ketika itu, lori tangki tanpa muatan yang dari arah Rompin gagal mengelak daripada bertembung dengan mangsa.
“Mangsa merempuh bahagian tengah tayar lori dan menyebabkannya digilis bersama motosikalnya sebelum tercampak ke laluan asal,” katanya ketika mengesahkan kejadian terbabit.
Menurutnya, motosikal mangsa terhumban ke dalam longkang manakala, mangsa terdampar dalam keadaan mengiring di bahu jalan.
“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian berikutan mengalami cedera parah di bahagian kepala, kaki kanan koyak, manakala otaknya berkecai dan bertaburan di atas jalan raya.
“Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol sebelum dituntut keluarganya,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, mangsa berasal dari Tenom, Sabah meninggalkan seorang balu dan anak lelaki berusia 11 bulan.
Mangsa yang berpangkat Gunner itu telah berkhidmat hampir lapan tahun di Kem Syed Sirajuddin dalam Unit 21 Artelari.
Mayat mangsa akan diuruskan di kem berkenaan terlebih dahulu sebelum diterbangkan ke Sabah dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan