12 Zulkaedah 1432H. [MOD] -
JELI, 10 Okt: Rahsia kedudukan selesa Umno dan Barisan Nasional (BN) di kawasan parlimen Jeli, Dun Bukit Bunga dan Dun Kuala Balah sebenarnya banyak bergantung kepada undi pos.
Ini dibuktikan pada pilihan raya umum lalu undi pos di kawasan parlimen Jeli terdapat sebanyak 2,997, Dun Bukit Bunga (1,554) dan Dun Kuala Balah (1,149).
Manakala undi pos di Dun Air Lanas hanya 294 undi. Jumlah pengundi pos yang sedikit membolehkan PAS melalui Abdullah Ya’kub memenangi Dun berkenaan.
Undi pos ternyata banyak membantu Datuk Seri Mustapa Mohamed apabila menang dengan majoriti 4,436 undi pada pilihan raya umum lalu.
Tanpa undi pos calon BN di parlimen Jeli mungkin hanya dapat sekitar 1,300 undi. Begitu juga di Dun Bukit Bunga calon BN Mohd Adhan Kechik menang hanya dengan majoriti 348 undi. Tanpa undi pos Adhan mungkin tewas lebih 1,000 undi.
Begitu juga kemenangan Datuk Abdul Aziz Derashid dengan majoriti 1,381 undi di Kuala Balah, ternyata dibantu undi pos sebanyak 1,149 undi.
Sekiranya tidak ada undi pos calon BN itu hanya menang sekitar 200 undi.
Berpandu kepada kekuatan itu Umno bermati-matian mempertahankan undi pos di parlimen Jeli, Dun Bukit Bunga dan Kuala Balah.
Maka tidak hairanlah senarai daftar pemilih tambahan suku kedua yang dipamerkan baru-baru ini terdapat tambahan 171 undi pos di kalangan isteri anggota tentera di Dun Bukit Bunga.
Tambahan pengundi pos tersebut mendapat bantahan penduduk tempatan dan hari ini diadakan perbicaraan bantahan terbabit di Pejabat Tanah dan Jajahan Jeli.
Penyelia Dun Bukit Bunga, Suply Abdul Razak (gambar) berkata, seramai 18 pembantah membuat bantahan terhadap pertambahan pengundi pos di kalangan isteri anggota tentera.
“Perbicaraan yang diadakan hari ini bagi memastikan mereka disenarai sebagai pengundi pos secara sukarela atau di luar pengetahuan mereka.
“Pengadil yang mengendalikan bantahan hari ini daripada Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya di sini.
Menurutnya pengundi pos terbabit disenaraikan dalam daftar pemilih tambahan suku kedua di kalangan isteri anggota tentera yang bertugas di Kem Batalion 1 Rejimen Sempadan di Batu 11.
Malah hasil bantahan sebelum ini menyebabkan bilangan pengundi pos semakin berkurangan di Jeli.
Ini dapat dilihat pada daftar pemilih suku ketiga 2010 bilangan pengundi pos di parlimen Jeli seramai 1,663, Bukit Bunga (1,278), Kuala Balah (187) dan Air Lanas (168).
Pada awal tahun ini Dewan Pemuda PAS Kelantan membantah tindakan SPR menerima pendaftaran seramai 499 isteri anggota tentera yang bertugas di Kem Desa Pahlawan sebagai pengundi pos.
harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan