12 Disember 2011

Baitul Ateeq: Keajaiban Dunia Yang Terunggul Sepanjang Zaman!


16 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Sejak zaman berzaman, ahli sarjana masyarakat barat begitu mengagung-agungkan hasil-hasil binaan yang disifatkan sebagai lambang ketamadunan yang maju dan menyenaraikannya sebagai salah satu keajaiban dunia.

Sejak dari kecil, kita dimomokkan bahawa Tembok Besar di China, Taman Tergantung Babylon di sempadan Iraq, Piramid Giza di Mesir, Taj Mahal di India, Candi Borobodur di Pulau Jawa, Angkor Watt di Kemboja dan Menara Condong Pisa di Itali sebagai tujuh benda ajaib di dunia.

It's a great time to get a great-looking new PC. Offers here.

Namun, tidakkah terlintas di fikiran kita bahawa rumah Allah, Kaabah, merupakan satu keajaiban dunia yang tiada tolok bandingnya dan tidak pun disenaraikan oleh sarjana-sarjana itu berbanding keajaiban-keajaiban lain.

Menurut golongan ulama dan pakar sejarah Islam, Kaabah yang terletak di dalam kawasan Masjidil Haram di Mekah pertama kali dibina di atas dunia oleh manusia pertama yang diturunkan Allah di muka bumi ini iaitu Nabi Adam AS.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Al-Karim dan diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA bahawa Nabi Adam mengerjakan tawaf di keliling Kaabah sebanyak 40 kali.

Selain itu, Kaabah yang juga digelar sebagai Baitullah atau Baitul Ateeq itu dikatakan telah dibina semula sebanyak 11 kali lagi dan di antara yang membinanya ialah Nabi Syith AS, Nabi Ibrahim AS, kaum Amaliqah, kaum Jurhum, Qusai Ibnu Qilab, dan datuk kepada Rasulullah SAW, Abdul Muttalib Ibnu Hasyim.

Kaabah yang dilanda banjir besar pada tahun 605 Masihi telah dibina oleh empat ketua suku kaum Quraisy bersama Muhammad SAW Al-Amin yang meletakkan posisi batu Hajarul Aswad ketika Baginda berumur 35 tahun, lima tahun sebelum diangkat menjadi Rasul.

Seterusnya, rumah Allah itu juga pernah dibina oleh seorang sahabat, Abdullah Ibnu Zubair RA pada tahun 64 Hijrah, Hajjaj Ibnu Yusuf At-Thaqafi pada tahun 74 Hijrah dan Sultan Murad Khan pada tahun 1040 Hijrah.

Menurut reka bentuk Kaabah ketika di bina oleh Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS, rumah Allah itu berukuran 48 kaki 6 inci bagi Dinding Timur, Dinding Barat 46.5 kaki, Dinding Hatim 33 kaki, manakala dinding antara Hajarul Aswad dan sudut Yamani adalah 30 kaki.

Binaan suci ini yang berbentuk kubus berukuran 12 x 10 x 15 meter itu, mencetus keajaiban teragung apabila jutaan umat Islam di dunia sujud kepadaNya setiap saat dan masa sejak di zaman Rasulullah SAW lagi.

Antara keajaiban Kaabah yang tiada pada benda keajaiban dunia lain ialah sebiji batu besar yang asalnya berwarna putih dan dinamakan sebagai Hajar Al-Aswad yang bermakna ‘batu yang berwarna hitam’ setelah batu yang dikatakan dibawa dari syurga itu bertukar ke warna hitam kemudiannya.

Selain itu, Kaabah turut dibina dengan ‘pakej ajaib’ dengan melengkapkan binaan itu dengan sebuah telaga Zam-Zam yang bermaksud ‘berkumpullah..berkumpullah’, yang tidak pernah kering-kering sejak dibina sejak di zaman Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail lagi.

Memakmurkan rumah Allah, puluhan juta umat Islam akan berkumpul mengelilingi Kaabah bagi menunaikan rukun Islam kelima, menunaikan haji, di mana hanya mereka-mereka yang terpilih sahaja yang akan mendapat ‘surat jemputan’ dari Allah SWT sebagai ‘tetamu’Nya setiap tahun.

Subhanallah! Beruntunglah kepada sesiapa yang pernah mendapat ‘surat jemputan’ itu untuk menjadi tetamu Allah di rumahNya memandangkan ramai yang kaya raya dan berkemampuan pun tidak pun bernasib baik menerima ‘surat’ itu.

Semoga kita semua, umat Islam, diberikan kemudahan dan lorongan dari Allah untuk menjadi tetamuNya sebelum uzur dan ajal menjemput kita menemuinya. Wallahua’lam.

Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN

Tiada ulasan: