12 Disember 2011

Permohonan PAS cabar Bil Perhimpunan ditangguh

16 Muharram 1433H. [MOD] -

Keputusan bagi kebenaran untuk PAS mencabar perlembagaan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman telah ditangguhkan hingga Khamis ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pagi ini membenarkan penangguhan itu atas permintaan timbalan pendakwa raya kanan Muzila Mohamed Arsad.

Hakim Datuk Rohana Yusof dimaklumkan oleh Muzila bahawa responden tidak bersedia kerana beberapa timbalan pendakwa raya persekutuan terpaksa menghadiri sebuah persidangan dari 7 hingga 10 Disember lalu.

Dalam saman yang dikemukakan oleh PAS itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.

Saman berkenaan difailkan pada 2 Disember oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan ahli jawatankuasa pusatnya, Dr Dzulkefly Ahmad.

Mereka diwakili oleh peguam Mohamad Hanipa Maidin yang dibantu oleh Aminuddin Zulkifli dan Ahmad Zambri As'ad Khuzami.

"Rang undang-undang itu adalah bertentangan dengan Perkara 10 perlembagaan persekutuan kerana setiap rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara bebas. Walaupun sekatan boleh dikenakan, namun ia tidaklah sehingga tahap melarangnya," kata Mohamad Hanipa.

Rang Undang-undang Perhimpunan Aman itu yang melarang sama sekali demonstrasi jalanan diluluskan oleh Dewan Rakyat bulan lalu dan kini di peringkat perbahasan di Dewan Negara.

Selain kebenaran untuk mencabar rang undang-undang itu, PAS juga memohon writ bagi menghalang bil berkenaan digubal di Parlimen dan writ mandamus bagi memaksa para responden menarik balik atau memindanya mengikut perlembagaan.

Mereka juga memohon pengisytiharan bahawa responden telah melampaui dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan pembentangan rang undang-undan itu dengan melanggar perlembagaan.

malaysiakini/-

Tiada ulasan: