12 Disember 2011

Gelisah sebelum tidur

16 Muharram 1433H. [MOD] -

KIJAL – Rasa gelisah dan tidak senang hati yang tiba-tiba dirasai seorang ibu tunggal sebelum tidur malam semalam rupa-rupanya memberi petanda bahawa dia akan menerima musibah apabila rumahnya ranap dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi semalam di Kampung Che Wan, dekat sini.

Mariam Mohd Zain, 48, terkedu dan hanya mampu beristighfar sebaik tiba di rumahnya apabila melihat pohon kelapa yang tumbuh kira-kira 20 meter di belakang rumah tumbang di atas rumahnya selepas mendapat panggilan telefon daripada jiran memberitahu khabar buruk itu.

“Berderau darah saya melihat keadaan rumah begitu. Rasa sedih tak dapat ditahan sebab itulah satu-satunya tempat saya dan anak tunggal berlindung. Ketika itu ramai jiran tetangga sudah berada di sekitar rumah melihat kejadian itu,” katanya sebak ketika dikunjungi Sinar Harian.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan anaknya, Muhaimin Mansor Ahmad, 19, tiada di rumah kerana dia keluar ke Pejabat Dun Kijal sementara anaknya pula pergi bekerja di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong dan hanya kawan anaknya, Che Wan Khairul Rashid, 15, yang kebetulan tidur di rumahnya malam sebelumnya yang tinggal di rumah.

“Patutlah malam sebelum kejadian buruk ini terjadi saya rasa gelisah dan saya ceritakan kepada Che Wan Khairul. Saya ingatkan rasa gelisah itu sebab akan berlaku kematian dalam kalangan orang terdekat tetapi rupanya ia petanda saya akan ditimpa musibah seperti ini,” katanya.

“Sebenarnya memang saya berhasrat menebang pokok kelapa ini yang condong ke rumah, malah saya juga sudah maklumkan hal itu kepada tuan pokok kelapa itu dan sudah dapat kebenaran, namun nampaknya ia tumbang dulu,” ujarnya.

Katanya yang bekerja sebagai tukang sapu di KSB, sebelum meninggalkan rumah angin agak kuat dan dia mengandaikan angin akan memyebabkan pokok kelapa rebah.

Akibat dihempap pokok kelapa itu keseluruhan atap asbestos bahagian dapur dan sebahagian besar atap di bahagian ruang tamu rumah Mariam pecah bertaburan membuatkan rumahnya tidak berbumbung.

Bagaimanapun, rasa sedih dan hiba hati Mariam terubat apabila ada pihak yang bermurah hati menyalurkan bantuan segera dengan menyumbangkan atap asbestos serta tenaga tukang rumah yang memasang segera atap berkenaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: