29 Disember 2011

Mayat Kim Jong-il diarak

4 Safar 1433H. [MOD] -

GAMBAR menunjukkan keranda Kim Jong-il diletakkan di atas bumbung sebuah kereta limousin di sebatang jalan raya di Pyongyang semalam.

PYONGYANG - Stesen televisyen Korea Utara semalam menyiarkan majlis perarakan jenazah bekas pemimpin negara itu, Kim Jong-il.

Imej itu menunjukkan puluhan ribu askar menundukkan kepala di sebuah kawasan bersalji di luar Istana Memorial Kumsusan di sini.

Sebuah kereta limousin yang membawa potret Jong-il mengetuai perarakan mayat.

Kereta tersebut bergerak perlahan dari Istana Memorial Kumsusan.

Anak bongsu Jong-il dan penggantinya, Kim Jon-un yang berusia lewat 20-an dan beberapa pegawai tentera serta awam berjalan di tepi kereta itu.

Kereta itu membawa keranda di atas bumbung.

Jong-un memakai pakaian berwarna hitam tanpa sarung tangan dalam cuaca sejuk.

Antara pegawai kanan yang mengiringi jenazah itu ialah Jang Song-thaek yang merupakan bapa saudara Jong-un.

Song-thaek yang juga Naib Pengerusi Suruhanjaya Pertahanan Kebangsaan dijangka memainkan peranan penting bagi membantu Jong-un memimpin negara.

Jong-un kini digelar sebagai pemimpin tertinggi parti komunis, negara dan tentera.

Jong-il memerintah ekoran kematian bapanya pada 1994.

Beliau mati akibat serangan penyakit jantung pada 17 Disember semasa berusia 69 tahun. - Agensi

Tiada ulasan: