5 Muharram 1433H. [MOD] -
KOTA BHARU, 1 Dis: Selepas program Debat Perdana yang disiarkan TV1 berkubur, orang ramai kini tidak lagi dapat menyaksikan wacana yang mengupas pelbagai isu politik.
Program yang disiarkan secara langsung itu hanya muncul seketika semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara. Ini sesuai dengan sikapnya lebih terbuka.
Begitu juga program Hujjah yang diterbit TV9, berjaya menarik minat orang ramai. Namun Hujjah yang dihidupkan kembali dengan versi baru sekarang kelihatan tidak bermaya.
Pentas diskusi, wacana dan debat seperti itu hanya sekali sekala diadakan di dewan tertutup dan tiada lagi siaran langsung kecuali melalui internet.
Kumpulan Karangkraf dan beberapa pihak lain termasuk kerajaan Kelantan masih mempertahankan debat terbuka mengupas isu semasa yang berlaku.
Ruang untuk rakyat mendapat maklumat secara telus melalui media elektronik kini semakin sempit di bawah kepimpinan negara sekarang.
Kalau ada wacana sekali sekala pun di TV1 dan TV9, panelis jemputan hanya dari kelompok yang sama. Tiada lagi diskusi terbuka yang lebih matang dan mendebarkan.
Maka mengambil kira kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak tiga tahun lalu menganjur wacana perdana dengan mengupas isu kritikal membabit panelis daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO.
Dan pada 8 Disember ini sekali lagi wacana ’panas’ akan diadakan bakal mengupas isu bertajuk ”Pilihan Raya Bersih dan Adil : Realiti Atau Ilusi?”
Pengarah program Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota Exco, Datuk Husam Musa dijemput sebagai ahli panel wacana berkenaan.
Manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.
Program itu dijangka bermula jam 9 malam akan diadakan di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, merupakan siri kelapan.
Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, turut mendapat kerjasama Harakah, Malaysiakini dan KTV sebagai media rasmi. Selain itu Rekabentuk Grafik dan Muslim Life.
Ahmad Baihaki berkata, wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui mykelantan.tv.
”Sebanyak tujuh siri wacana yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan.
”Ini menggambarkan orang ramai amat mengharap program seumpama itu bagi mendengar kupasan isu semasa yang berlaku secara matang dan sihat,” ujarnya.
Antara panelis dari Umno yang pernah diundang termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, Pegawai JASA, Lokman Nor Adam. Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affandi Yusof dan bekas Pengerusi Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan