5 Muharram 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 1 Dis: Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang bagi meminda syor yang telah dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya.
Kit Siang dalam usulnya mencadangkan syor PSC itu hendaklah dipersetujui dengan pindaan dengan menambah ayat seperti berikut:
"Perlulah dilaksanakan oleh Kabinet, Suruhanjaya Pilihan Raya dan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan serta-merta dan mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2012 serta satu penyata laporan perkembangan perlaksanaan semua syor tersebut dan syor-syor penambahbaikan proses pilihan raya yang lain perlu dibentangkan ke Dewan ini pada minggu pertama tahun 2012".
Bagaimanapun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolaknya kerana ianya di luar bidang kuasa speaker.
Menurut Pandikar, usul tersebut bertentangan dengan Perkara 31(3) dan Perkara 27 Peraturan Mesyuarat.
"Untuk ubah perlu dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat, perlu ada perbahasan dan notis dua minggu mengikut Perkara 27," katanya.
Kit Siang terdahulu mendakwa, 10 syor yang dikemukakan PSC di Dewan Rakyat hari ini 'tergantung' kerana tiada satu ikatan atau arahan agar kesemua syor tersebut dilaksanakan oleh pihak bertanggungjawab.
Speaker juga bersetuju dengan pandangan tersebut namun menyatakan tidak boleh bertindak apa-apa kerana diluar bidang kuasanya.
Harakah Daily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan