01 Disember 2011

Treler terbalik, jalan tutup 5 jam

5 Muharram 1433H. [MOD] -

VALDOR – Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang berlaku kepada seorang pemandu treler apabila dia terselamat meskipun kenderaannya terbalik dalam satu kemalangan di Jalan Valdor, Sungai Bakap pagi semalam.

Akibat kemalangan itu juga, jalan berkenaan ditutup hampir lima jam lebih.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9 pagi itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang mengikuti kenderaan 14 tayar itu cuba memotong treler berkenaan namun gagal menyebabkan kereta terbabit bergesel pada salah satu tayar treler sehingga hilang kawalan.

Wakil syarikat treler berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata, kejadian terbabit benar-benar membuatkan dia tergamam apabila rakannya (pemandu treler) tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kemalangan berkenaan benar-benar mengejutkan saya kerana jika dilihat pada keadaan lori dan kereta, pasti ada yang maut.

“Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada Tuhan kerana menyelamatkan rakan dan pemandu kenderaan lain,” katanya.

Menurutnya, treler yang dipandu rakannya itu membawa muatan tali seberat 20 tan untuk dihantar ke Kulim, Kedah.

“Bagaimanapun, setibanya di jalan berkenaan, treler yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas.

“Ketika hilang kawalan itulah, treler yang dipandu turut merempuh sebuah kereta lain dan sekali gus menyebabkannya terbalik manakala muatan tali yang dibawa memenuhi permukaan jalan,” katanya.

Berikutan kemalangan itu, orang ramai terpaksa menggunakan Jalan Lima Kongsi disebabkan jalan terbabit ditutup hampir lima jam lebih bagi membolehkan kerja membersihkan kawasan jalan dan mengalihkan treler berjalan lancar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superitendan Shafien Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan.

sinar harian/-

Tiada ulasan: