01 Disember 2011

Kenapa Rakyat Perlu Bantah Undang-Undang Perhimpunan Aman

5 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM, 1 DEC : Bantahan terhadap Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 bukan sahaja melibatkan golongan profesional seperti Majlis Peguam tetapi turut ditentang oleh golongan petani.

Realitinya Shamudin Abdullah, 44, seorang petani dari Sekinchan yang setiap hari membanting tulang dibendang telah lama bersabar disamping melakukan pelbagai usaha menuntut hak yang dijanjikan Kerajaan Pusat kepada golongan petani sepertinya.

Seperti yang dijanjikan, petani sepatutnya diberikan Insentif Peningkatan Hasil Padi (IPH) sebanyak RM650 bagi setiap tan tetapi malangnya ia hanya dilaksanakan pada tahun pertama sahaja.

Tanpa diberitahu, insentif berkenaan tidak lagi diberi pada tahun berikutnya menyebabkan golongan petani sepertinya tertunggu-tunggu hak yang sepatutnya milik mereka.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka namun masih menemui jalan buntu.

Maka, langkah terakhir yang diambil Shamudin dan rakan-rakannya adalah dengan turun berdemonstrasi menuntut suara mereka didengari dan hak dikembalikan.

Kesan daripada demonstrasi itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersetuju untuk menjelaskan tunggakkan pembayaran insentif tersebut sebanyak RM110juta bermula 4 Disember depan.

Situasi yang diceritakan oleh Shamudin, jelas menunjukkan kebebasan bersuara serta berhimpun adalah penting untuk dipelihara bagi menjamin rakyat ada peluang menyalurkan pandangan dan ketidakpuasan hati mereka.

"Kami berusaha untuk bertemu dengan menteri sendiri bagi berbincang namun tidak pernah dilayan. Akhirnya keputusan dibuat untuk membuat demonstrasi.

"Bila berdemonstrasi isu ini akan didengari dan mendapat perhatian pelbagai pihak khususnya pihak kerajaan," kata Shamudin.

Atas faktor-faktor inilah, beliau berpendapat tindakan Dewan Rakyat meluluskan RUU Perhimpunan Aman hanya dalam tempoh tiga jam sebagai satu sekatan terhadap rakyat.

"Rakyat tidak perlu disekat daripada mengadakan tunjuk perasaan asalkan ia berlaku dalam keadaan aman. Ini penting bagi membuka mata kerajaan terutamanya dan orang awam akan sesuatu isu dan secara tidak langsung menjadikan rakyat lebih cerdik dan maju.

"Golongan seperti kami tidak mempunyai pendidikan tinggi. Namun apa yang kami lakukan ini bukanlah untuk mencetus huru-hara, kami tidak membawa senjata sebaliknya hanya suara kami menuntut hak kami," katanya.

RUU Perhimpunan Aman mencetuskan kontroversi antaranya memendekkan notis mengadakan perhimpunan daripada 30 hari kepada 10 hari kepada pihak polis.

Malah polis juga diberi kuasa mengadakan sekatan ke atas pelbagai aspek perhimpunan termasuk dan tempat kononnya bagi menjamin ketenteraman awam.

Sementara itu, Kerajaan Selangor turut kesal apabila RUU Perhimpunan Aman diluluskan terburu-buru tanpa berunding dengan pihak-pihak yang berkepentingan, termasuk pembangkang serta kumpulan-kumpulan masyarakat sivil.


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media memaklumkan pendirian bahawa RUU Perhimpunan Aman sepatutnya dikaji dengan lebih teliti kerana sekatan yang dibuat tidak bertepatan dengan kebebasan berhimpun yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi memastikan agar rakyat peka terhadap hak demokrasi mereka, Kerajaan Negeri merancang untuk menganjurkan forum bagi menerangkan hak-hak rakyat di sebuah negara yang mengamalkan demokrasi mengikut Perlembagaan," kata Menteri Besar sambil menambah pihaknya tidak akan berdiam diri apabila ada cubaan menindas hak rakyat.

Forum ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri di bawah Program Pendemokrasian Rakyat yang menerima peruntukan RM15 juta di bawah Geran Selangorku seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan Negeri 2012.

Oleh itu, kerajaan negeri menjemput pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghantar cadangan bagaimana forum ini boleh dianjurkan dengan baik dan berkesan.

tv news/-

Tiada ulasan: