01 Disember 2011

PAS pertikai Fasal 15(4) Pemajuan Perumahan

5 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 1 Dis: Fasal 15 (4) Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) (Pindaan) 2011 dipertikai oleh ahli-ahli Parlimen PAS apabila di dalamnya terdapat istilah amat mencurigakan berhubung pemberian wang dengan ikhlas.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar (kanan) selaku wakil dari Pakatan Rakyat yang pertama bangun mempersoalkan perkara itu amat curiga dengan istilah tersebut yang boleh dikaitkan dengan rasuah yang begitu jelas.

Menurut beliau, perkara tersebut dicatat dengan nyata khususnya berhubung fasal Pemegang Jawatan Tinggi Negara yang juga turut melibatkan pengerusi dan AJK perbadanan terbabit.

Katanya, pemberian wang dengan ikhlas itu dikaitkan dengan kata-kata yang amat manis tetapi penuh dengan kekeliruan iaitu di atas kehadiran ahli-ahli yang menzahirkan tidak campur tangan.

"Ayat itu jelas dikatakan memberikan wang dengan ikhlas. Tetapi bagaimanakah yang dikatakan memberilkan wang dengan ikhlas itu? Tidakkah ia merupakan rasuah?" katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pemajuan Perumahan pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat membangkitkan perkara itu kerana bimbang gejala rasuah akan semakin menjadi-jadi di dalam negara yang diamalkan oleh para pemimpin Umno BN menerusi pindaan rang undang-undang tersebut.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) dan Ahli Parlimen Shah Alam yang turut bangun mencelah, turut bertanyakan kepada pihak Kerajaan BN mengenai perkara itu yang kemudiannya digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Dalam penggulungannya, Nazri menjelaskan istilah itu tidak perlu dikelirukan kerana ia tidak bermaksud rasuah, tetapi jawapan yang diberikan itu tetap tidak menyakinkan.

Sebaliknya, istilah tersebut sememangnya boleh menimbulkan pelbagai taksiran kepada pihak-pihak terbabit sehingga boleh menyumbang kepada peningkatan amalan rasuah di dalam negara ini.

Perkara itu samalah juga dengan pertikaian ahli-ahli Parlimen PAS dan Pakatan Rakyat berhubung pembentangan Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum itu yang penuh tanda tanya.

Pertikaian tersebut muncul apabila rang undang-undang baru itu dikaitkan dengan slogan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, kemudian disusuli pula dengan penubuhan perbadanan baru yang dinamakan Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia yang jelas sia-sia dan membazirkan wang rakyat.


Harakah Daily

Tiada ulasan: