17 Februari 2012

Stadium runtuh: PAS perbaharui laporan kepada SPRM

24 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

(Mohd Nor, Dr Syed Azman dan Dr Alias dalam sidang media selepas membuat laporan kepada SPRM sekali lagi ekoran keruntuhan Stadium Sultan Mizan)

KUALA TERENGGANU, 17 Feb: Kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang runtuh dan kecurian peralatan stadium tersebut yang bernilai RM50 juta adalah tragedi yang sangat-sangat memalukan rakyat negeri Terengganu.

Oleh itu, tiga orang wakil rakyat PAS, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad bersama ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak dan ADUN Bukit Payong telah memperbaharui laporan berkaitan perkara tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ustaz Mohd Nor yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu berkata, rakyat perlu diberi penjelasan terhadap lapan persoalan yang timbul ekoran ‘tragedi’ itu.

“Persoalan besarnya bilakah baikpulih stadium itu akan dijalankan? Pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih tersebut? Berapakah kos sebenar baikpulih stadium itu? Berapakah kos yang akan ditanggung oleh kerajaan negeri untuk baikpulih itu?

“Adakah seluruh struktur stadium selamat digunakan? Dan siapakah yang ‘dalang’ yang bertanggungjawab terhadap kecuarian peralatan stadium itu?”soalnya.

Beliau menegaskan, kerajaan Umno dan Barisan nasional (BN) Terengganu perlu memberi jawapan segera untuk pengetahuan seluruh rakyat Terengganu.

Sehubungan itu, Dr Alias Razak selaku Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu pula berkata tragedi itu menunjukkan kelemahan tadbir urus dan ketidakupayaan kerajaan Umno dan barisan Nasional (BN)

“Setelah dua tahun (bumbung) stadium runtuh dibiar (dan) tidak dibaiki, wlaupun ada jaga satu dua orang, stadiu itu besar dan jauh (terpencil) maka ia terdedah kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri peralatan,

“Ini semua (merupakan) satu kelemahan dan ketidakupayaan tadbir urus kerajaan Umno (dan) Barisan Nasional terhadap harta rakyat,”jelasnya.

Beliau juga menempelak tindakan ‘pendakwaan terpilih’ yang hanya dibuat ke atas seorang juruteknik kerana menurutnya begitu banyak kesalahan yang berlaku dalam pembinaan stadium tersebut sebagaimana dilaporkan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, dalam taklimat JKR kepada Jawatankuasa Kira-kira dan Kewangan Negara (PAC) punca-punca keruntuhan termasuk rekabentuk yang tidak memadai bagi menyokong struktur bumbung, salah jajaran geometri dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak pembinaan.

Justeru, Dr Syed Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS hairan, bagaimana peralatan stadium yang dilaporkan bernilai RM50 juta itu telah dicuri.

Beliau berkata, adalah mustahil set penjana kuasa yang begitu besar boleh diangkut oleh seorang atau dua orang manusia.

“Bagaimana boleh berlaku kecurian yang kitatidak dapat gambarkan! Kalau (set) penjana kuasa bagaimana (orang boleh curi sedangkan) 10 orang tak boleh angkat? ke hantu yang curi?

“peralatan latihan pun dicuri…….kerusi pun dicuri! Ini satu (kejadian) yang cukup malang,”katanya.

Ketiga-tiga ADUN PAS tersebut berkata demikian dalam sidang media, selepas memperbaharui laporan ‘tragedi’ SSMZA di pejabat SPRM Kuala Terengganu pada Khamis 16 Februari.

Tujuan laporan tersebut adalah meminta pihak SPRM menyiasat kejadian yang menimpa SSMZA sehingga ke akar umbi dan membawa pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan dan penyelwengan tersebut ke muka pengadilan.

Dr Syed Azman menyifatkan ‘tragedi’ SSMZA yang bernilai RM292 juta adalah skandal yang lebih besar daripada ‘skandal lembu negara (National Feedlot Corporation - NFC) yang meilbatkan pinjaman RM250 juta.

“Memalukan….sangat-sangat memalukan kita sebagai rakyat Terengganu!,”tambahnya

harakahdaily/-

Tiada ulasan: