17 Februari 2012

Yayasan Taqwa: PAS Desak Jamil Khir Jawab Isu Zakat Tidak Jelas Atau Letak Jawatan

24 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS mendesak agar Yayasan Taqwa dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjawab beberapa persoalan tentang isu zakat yang disifatkan sebagai tidak jelas.

Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, desakan itu dibuat kerana sehingga kini pihaknya masih tidak berpuas hati dengan jawapan umum yang diberikan.

“Kami tak dapat terima. Apabila dipersoalkan beberapa perkara, MAIWP dan Yayasan Taqwa nampak semakin terperangkap," katanya pada satu sidang media, Jumaat.

Perkara yang dipersoalkan termasuklah alasan 40 hingga 50 peratus duit zakat tidak secara langsung disalurkan ke asnaf dan jumlah RM23 juta yang dianggap banyak diberikan kepada golongan Amil.

Kamaruzaman juga menuntut perincian perbelanjaan RM2 juta bagi belanja mengurus Yayasan Taqwa serta meminta agar akaun yayasan itu didedahkan.

"Kenapa mereka berdiam diri dalam sesetengah perkara dan tak memberikan sebarang respons. Di mana hasil audit dalaman Yayasan Taqwa?

"Ini melibatkan kepentingan umum, pembayar zakat dan seluruh umat Islam. Kami hanya minta perkara ini dibersih dan dijernihkan...itu saja," katanya.

Menurut Kamaruzaman yang juga merupakan Pengarah Pasukan Petugas Zakat Dewan Pemuda PAS, pihaknya bertanggungjawab terhadap persoalan yang dibangkitkan dan mempunyai bukti kukuh.

Justeru, Datuk Seri Jamil Khir dicabar meletakkan jawatan jika gagal menjawab persoalan dan mengemukakan bukti sehingga mampu membuatkan Dewan Pemuda PAS dan rakyat berpuas hati sebagai menepis dakwaan penyelewengan wang zakat.

"Oleh itu kami mencabar Datuk Seri Jamil Khir bertanggungjawab sepenuhnya sebagai tanda pertanggungjawaban sekiranya kami mengemukakan bukti terhadap segala persoalan kami," tegasnya.

Kamaruzaman mendakwa wujud eleman konflik kepentingan dan pelanggaran konsep urus-tadbir yang baik oleh Jamil Khir di atas kapasiti sebagai pengerusi Yayasan Taqwa dan pengerusi MAIWP sebagai entiti yang meluluskan permohonan.

Dakwaan ini dibuat apabila Dewan Pemuda PAS sebelum ini mempersoalkan tindakan Jawatankuasa Baitulmal MAIWP meluluskan RM4 juta kepada Yayasan Taqwa pada 12 November 2011, sedangkan yayasan tersebut hanya memohon RM1 juta pada 17 September 2011.

Menjawab persoalan tersebut, Yayasan Taqwa tampil memberi respons pantas dan menegaskan apa yang didakwa itu sebenarnya tidak berlaku sedemikian dan memberi fakta-fakta kewangan.

Menjawab kembali jawapan yang diberikan, Kamaruzaman berkata pihaknya sengaja membuat kesilapan pada tarikh untuk kedua-dua pihak itu memberi kenyataan.

"Cuba perhatikan 12 November 2011 dan 17 September 2011 itu kedua-duanya hari Sabtu.

"Tarikh itu sengaja disilapkan Dewan Pemuda untuk memastikan mereka memberikan respons. Tarikh sebenar permohonan itu ialah 17 September 2010 dan Jawatankuasa Baitulmal meluluskan pada 12 November 2010," jelas beliau.

Tegasnya, jika Jamil Khir selaku orang yang paling bertanggungjawab gagal menjawab persoalan ini dengan baik dan tidak memuaskan hati, pihaknya akan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kalau tak salah tak perlu takut. Sebab itu kami minta bukti. Kalau mereka boleh buktikan itu lebih baik sebab akan membersihkan nama mereka juga," katanya.

mstar/-

Tiada ulasan: