13 April 2012

Dua penagih cuba larikan diri

21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

LUNAS - Seramai 13 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kulim, diketuai Inspektor Mohd Amin Mat Yassin menahan 22 lelaki berusia di antara 18 hingga 60 tahun di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Masjid Sungai Seluang dalam satu serbuan dibuat kira-kira jam 8 pagi semalam .

Mohd Amin berkata, sebelum melakukan serbuan semua anggotanya menyamar sebagai buruh dan pekerja ladang.

“Kira-kira jam 10 pagi, beberapa lelaki dilihat masuk ke port menagih mereka yang dibuat dengan menggunakan daun pokok kelapa sawit.

“Melihatkan keadaan penagih semakin ramai, pihak kami terus membuat serbuan.

“Dua daripada mereka cuba melarikan diri dengan motosikal tetapi berjaya ditahan,” katanya.

Menurutnya, polis telah membuat intipan di lokasi terbabit sejak seminggu lalu.

“Seorang lelaki warga emas turut ditahan dan terpaksa dipapah keluar kerana mengalami masalah kesihatan.

“Ada juga di antara mereka yang datang membawa anak kecil. Mereka melakukan semua ini bagi mengaburi mata polis atau dijadikan alasan untuk melepaskan diri sekiranya ditahan,” katanya.

Beliau berkata, polis menemui dua port menagih dibina di sekitar kawasan ladang kelapa sawit itu.

“Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Polis turut merampas 17 motosikal pelbagai jenis milik penagih. Semua motosikal ini akan diperiksa untuk siasatan lanjut,” katanya.

Semua suspek akan ditahan mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pencegahan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Sinar Harian

Tiada ulasan: