13 April 2012

Lelaki ditahan seludup diesel

21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TELUK INTAN - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyeludup minyak diesel bersubsidi ke kawasan industri di luar Perak, awal pagi kelmarin.

Tangkapan itu dilakukan dalam satu operasi melibatkan sepasukan pegawai penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan (PPDNKK) Teluk Intan, di hadapan Balai Polis Hutan Melintang.

Timbalan Pengarah KPDNKK Negeri, Rosli Ahmad berkata, ketika penahanan itu, suspek berusia 59 tahun memandu sebuah lori tangki bersama isteri dan anaknya dipercayai mahu menghantar diesel berkenaan ke kawasan perindustrian.

Menurutnya, suspek disyaki cuba menyeleweng diesel subsidi untuk kegunaan nelayan.

“Penangkapan itu dibuat selepas pasukan kami yang diketuai Pegawai Penguatkuasa, Noor Hisham Abd Aziz membuat risikan di sekitar kawasan nelayan Hutan Melintang,” katanya ketika ditemui di Pejabat PDNKK Cawangan Teluk Intan, semalam.

Kata beliau, suspek ditahan bagi membantu siasatan dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, pihaknya menemui diesel dianggar 10,920 liter dan bernilai RM30,248.

Jelasnya, ujumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM80,248 dan pihaknya percaya ada sindiket mendalangi kes seludup diesel bersubsidi menggunakan modus operandi tersendiri bagi mengaburi mata pihak berkuasa

“Kami juga percaya sindiket itu menjalankan urus niaga terlebih dahulu dan apabila persetujuan tercapai, mereka akan menyuruh seseorang untuk mengambil diesel lalu dibawa ke destinasi seterusnya.

“Kes ini merupakan yang kedua bagi tahun ini dan kami akan meneruskan usahanya membanteras kegiatan tersebut terutamanya di negeri ini,” katanya.

Rosli berkata, kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman penalti denda RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sinar Harian

1 ulasan:

Raziq Najab berkata...

ikan bilis kena ikan jerung bebas... oh Malaysia tanahairku!