13 April 2012

PAS tambah cawangan baru dalam Dun Ali Rustam

21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUKIT KATIL, 14 April: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menerima tamparan hebat apabila sebuah lagi cawanagn baru PAS ditubuhkan dalam kawasannya di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Baru.

Malah lebih menarik, cawangan di Padang Jambu di Dun itu ditubuhkan oleh beberapa orang ahli Umno telah keluar parti itu dan menyertai PAS.

Malam tadi Mesyuarat Agung pertama PAS Cawangan tersebut telah diadakan di mana perlantikan ahli jawatan kuasa (AJK) telah dibuat dengan jayanya.

Serentak dengan itu Unit Peti Undi (UPU) Padang Jambu juga ditubuhkan bagi menggiatkan lagi kerja-kerja pilihanraya yang sebelum ini dilakukan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Katil, Mohd Ali Sharif dalam ucapan perasmiannya melahirkan tanda kesyukuran di atas penubuhan cawangan tersebut yang telah sekian lama diidamkan.

"Padang Jambu bukanlah kubu kuat BN kerana PAS mendapat undi yang banyak pada setiap Pilihanraya, kita hanya kalah sekitar 100-200 undi sahaja".

"Insya Allah dengan penubuhan cawangan ini PAS akan membuat kejutan pada PRU 13 di Peti Undi Padang Jambu ini" ujar Mohd Ali yang juga Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka.

Sementara itu Setiausaha PAS Kawasan Bukit Katil, Hj Ramli Dalip berkata satu lagi cawangan PAS akan ditubuhkan dalam Dun Bukit Baru iaitu cawangan Bukit Baru Dalam.

Beberapa penyokong PAS dan bekas-bekas ahli Umno sudah bersedia untuk menubuhkan cawangan tersebut.

"Kita sudahpun mengenalpasti penyokong PAS dan Umno yang bersedia memikul amanah menggerakkan cawangan dan Unit Peti Undi Bukit Baru Dalam'.

"Majlis penubuhannya akan diadakan dalam masa terdekat" kata Ramli.

Harakah Daily

Tiada ulasan: