21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
ORANG ramai kembali semula ke pejabat masing-masing selepas gempa melanda Bandaraya Mexico , semalam.
Aceh bergegar lagi selain Mexico, Amerika Syarikat
BANDARAYA MEXICO: Gempa sekali lagi melanda Aceh semalam selain Mexico dan Amerika Syarikat tanpa menyebabkan kematian atau kemusnahan besar.
Gempa terbaru magnitud 5.3 di Aceh itu berpusat 442 kilometer ke barat daya Sabang di kedalaman 124 kilometer dan berlaku pada 7.29 pagi waktu tempatan.
Ketua geofizik Agensi Kaji Cuaca Geofizik, Iklim dan Geofizik, Dadang Permana, berkata 25 gegaran susulan dengan ukuran melebihi magnitud 5 berlaku sejak gempa bumi besar melanda tengah hari kelmarin.
Gegaran susulan terbesar magnitud 8.3 berpotensi mencetuskan tsunami direkodkan pada 5.45 petang kelmarin, dua jam selepas gempa bumi pertama berlaku.
Gempa juga melanda dekat pantai Mexico di perairan Pasifik magnitud 6.5 disusuli dengan satu lagi gegaran magnitud 7.1 di Sonora. Gempa magnitud 5.9 kemudian dilaporkan melanda kawasan 256 kilometer ke barat laut bandar Bandon di Oregon dan magnitud 5.3 di California, Amerika.
Pegawai Biro Tinjauan Geologi Amerika (USGS), Doug Gibbons, berkata gempa bumi di Amerika tiada kaitan dengan dua gegaran di Indonesia dan tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa bumi Mexico dilaporkan berpusat di kawasan kurang penduduk di pergunungan barat negara itu tetapi masih menyebabkan bangunan tinggi bergoyang lebih 320 kilometer dari situ.
Ramai meninggalkan bangunan di ibu kota. Kerajaan berkata, tinjauan udara menggunakan helikopter tidak mengesan sebarang kerosakan. Kerajaan negeri Michoacan, pusat gegaran, juga tidak melaporkan sebarang kerosakan.
Gempa itu adalah yang terbaru dalam siri gegaran kuat melanda ibu negara Mexico sejak gempa magnitud 7.4 pada skala Richter menggegarkan selatan negara itu tiga minggu lalu, tetapi gegaran susulan tidak berlaku, kata pakar geofizik USGS, Dale Grant.
Gempa bumi besar bulan lalu dirasakan di ibu kota Mexico dan ia merosakkan beratus-ratus rumah dan menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut berhampiran sempadan antara negeri Guerrero dan Oaxaca.
Perkhidmatan gempa bumi Mexico berkata, gegaran diikuti rapat dengan 400 gegaran susulan termasuk satu yang berukuran 6 pada skala Richter. – AP/Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan