13 April 2012

Geng samun hotel tumpas

21 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MANJUNG - Polis Manjung berjaya menahan geng samun hotel bajet yang bergerak aktif di sekitar daerah itu sepanjang Mac lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, geng itu memulakan kegiatan mereka bermula jam 2 pagi dan menjadikan hotel bajet sebagai sasaran.

Menurutnya, kumpulan yang dianggotai lapan ahli berumur antara 25 hingga 40 tahun itu akan mengugut pekerja hotel dengan menggunakan parang sebelum menyamun mangsa.

“Mereka juga memakai topi keledar untuk mengelakkan daripada dicam oleh pekerja hotel,” katanya pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Manjung.

Kata beliau, sebelum ini, tidak ada kejadian seumpama ini dilaporkan dan selepas dua minggu geng itu bergerak aktif, tujuh ahlinya berjaya ditangkap.

Jelasnya, namun seorang lagi suspek masih bebas dan kini pihaknya berusaha menjejaki lelaki berkenaan.

“Dalam penangkapan itu, kami turut merampas tiga motosikal, sebuah kereta jenis proton Waja dipercayai digunakan untuk tujuan samun, dua telefon bimbit, sebilah parang, sebuah dompet dan sebuah komputer riba dipercayai kepunyaan mangsa.

“Dengan tertangkapnya geng samun berkenaan kita berjaya menyelesaikan tujuh kes samun sekitar daerah ini,” katanya.

Ahmad berkata, hasil siasatan, pihaknya mendapati seorang ahli yang juga ketua geng itu mempunyai rekod jenayah lampau manakala yang lain tiada.

“Sejak geng berkenaan ditangkap kita tidak lagi mendapat laporan mengenai kegiatan samun di hotel bajet sekitar daerah ini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: