10 April 2012

Jalan mendap tunggu mangsa

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

SONGSANG - Keadaan bahu jalan raya Temerloh-Jerantut, dekat sini, yang mendap memerlukan perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Pengguna, A Gopal, 25, berkata, pihak berkenaan sepatutnya sudah mengambil tindakan untuk mengatasi masalah itu berikutan keadaan tersebut sudah berlarutan selama hampir empat bulan.

Menurutnya, keadaan itu turut membahayakan keselamatan pengguna terutama penunggang motosikal kerana kon diletakkan di kawasan terbabit mudah tumbang ditiup angin dan boleh menyebabkan kemalangan.

“Beberapa hari lalu, saya nyaris terjatuh daripada motosikal ketika melalui jalan ini semasa sedang menunggang menghala ke pekan Kerdau. Kon tersebut tiba-tiba tumbang dan saya nyaris terjatuh.

“Nasib baik ketika itu tiada kenderaan di belakang saya. Kalau tidak, saya sendiri tidak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke kawasan itu mendapati mendapan di jalan terbabit semakin dalam dan perlu dibaiki segera.

Gopal berkata, sehubungan itu pihak berkenaan diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan membaiki kerosakan tersebut kerana bimbang ia semakin teruk.

Tambahan pula katanya, keadaan gelap terutama pada waktu malam meningkatkan lagi risiko kemalangan.

“Pemandu dari arah Temerloh menuju Jerantut akan masuk ke laluan bertentangan untuk mengelak mendapan itu. Kita bimbang tindakan tersebut akan menyebabkan kemalangan.

“Tambahan pula, kenderaan di kawasan ini dipandu laju dan jumlah kenderaan pula semakin bertambah,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: