10 April 2012

Terpedaya pakej pelancongan

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS – Seramai 10 ahli Kelab Motor RMC hampir kerugian RM 930, apabila dijanjikan percutian ke Pulai Perhentian, 23 Mac lalu.

Mereka hampir ditipu oleh salah satu agensi pelancongan dari Kuala Lumpur, yang dikatakan menggelapkan wang pendahuluan mereka, sebanyak RM60.

Pengerusinya, Jailani berkata, dia hampir terpedaya dengan janji kosong agen pelancongan berkenaan, ketika mereka membuka ‘booth’, di pusat membeli belah di Kota Bharu.

Menurutnya, ejen terbabit menjanjikan pakej pelancongan tiga hari dua malam, ke Pulau Perhentian Terengganu, dengan bayaran hanya RM93 seorang.

“Memandangkan harga yang ditawarkan amat murah, saya bersetuju dengan pakej itu dan membayar RM60 sebagai wang pendahuluan dan baki bayaran pula, akan diberikan pada keesokan harinya,” katanya, selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas, semalam.

Jailani berkata, sehari selepas bayaran, ejen berkenaan menghubunginya dan meminta untuk melunaskan baki bayaran secepat mungkin.

Namun katanya, dia mula curiga apabila ejen itu enggan memberi nombor telefon pejabat, untuk pengesahan.

Menurutnya, nombor telefon pejabat urusan pusat pelancongan ini, akan diberikan sekiranya bayaran penuh dilunaskan ke akaun peribadinya.

“Saya mula syak ejen ini cuba menipu wang kelab, maka saya memintanya untuk mendapatkan bayaran balik.

“Ejen berkenaan berjanji, pihak pejabat urusannya akan menghubunginya dalam masa seminggu,” katanya.

Dua minggu selepas itu, dia masih tidak mendapat sebarang panggilan, malah ejen berkenaan mengaku dia sudah berhenti kerja dan tidak mempunyai sebarang urusan berkenaan perkara terbabit.

“Bukan nilai wang yang saya pentingkan, tetapi saya tidak mahu ada pengguna lain turut sama teraniaya akibat penipuan agensi pelancongan terbabit, di masa hadapan.

“Saya berharap, pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap agensi pelancongan ini, agar mereka tidak lagi menipu wang pengguna dengan cara sebegini,” katanya.

Sinar Harian

Tiada ulasan: