10 April 2012

Kereta melekat celah pokok

18 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Dua sahabat berdepan detik mencemaskan apabila kereta dinaiki terbang ke udara selepas hilang kawalan di selekoh tajam sebelum terbabas, lalu terbalik.

Kemalangan kira-kira jam 11 malam semalam itu dipercayai berlaku apabila Proton Satria dipandu Nurul Balqis Mohd, 20, hilang kawalan sebaik tiba di selekoh tajam berdekatan pintu belakang Tanjung Jara Resort.

Menurut Balqis, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Paka untuk pulang ke rumah ibu bapanya di Kuala Terengganu.

Sebelum kejadian, Balqis bersama seorang rakannya, Norshamsiah Mat, 23, yang duduk di tempat penumpang hadapan, dikatakan sempat singgah makan pizza di bandar Dungun.

Setibanya di kawasan itu, Balqis yang menyangka laluan selekoh berkenaan seperti jalan lurus, tiba-tiba terpandang pagar resort terbabit lalu cuba mengelak.

Bagaimanapun, kereta yang dipinjamnya itu dikatakan gagal dikawal, lalu terbabas sebelum terbang dan melanggar sebatang tiang, sebelum melekat di celah pokok.

Balqis yang masih trauma dengan kejadian itu nekad tidak akan memandu kenderaan lagi dalam masa terdekat.

“Saya lihat asap keluar dari bahagian enjin, ingat ia akan meletup.

“Kemudian saya bergegas keluar melalui tingkap untuk menyelamatkan diri sebelum beberapa pekerja resort berkenaan tiba untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Balqis yang merupakan pelajar Politeknik Sultan Ahmad Shah dan berasal dari Kuala Terengganu cedera ringan pada bahagian kaki dan dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Rakannya, Nor Shamsiah, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sinar Harian

Tiada ulasan: