02 April 2012

Patah tangan dibelasah penduduk

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KAMPUNG RAJA - Hilang sabar dengan kecurian pisang di kebun yang berlaku setiap hari dua, seorang lelaki dipukul penduduk sehingga patah tangan.

Kehadiran dua suspek yang mencurigakan di kebun pisang terbabit mula disedari anak pemilik kebun yang menjaga kebun pisangnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, anak pemilik kebun itu melihat dua lelaki sedang memotong tandan pisang di kebun bapanya di Kampung Amer Hulu, di sini.

Ketika itu kebetulan anak pemilik kebun tersebut bersembunyi di balik sebatang pokok pisang memandangkan tidak tahan hampir setiap hari buah pisangnya dicuri.

Menyedari terdapat lelaki mencurigakan itu dia menghubungi bapanya yang berada di Jertih serta penduduk kampung.

Penduduk kampung kemudiannya keluar beramai-ramai apabila mengetahui kejadian itu dan berjaya memberkas seorang daripada suspek.

Manakala seorang lagi suspek berjaya melarikan diri dengan kereta Proton Saga yang dinaiki mereka tanpa sempat melarikan dua tandan pisang nangka yang cuba dicuri.

Penduduk yang hilang sabar bertindak memukul suspek menyebabkan suspek mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan termasuk patah tangan sebelum diserahkan kepada polis yang tiba sejurus kemudian.

Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika ditemui mengesahkan polis menahan suspek berusia 34 tahun beralamat di Kampung Gong Bukit Kenak.

Menurutnya, penduduk kampung telah berjaya menangkap suspek dan menyerahkan kepada polis.

Suspek turut didapati positif saringan dadah jenis heroin.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan suspek memberitahu dalam kejadian itu dia baru kali pertama mencuri pisang,” katanya.

Kamaruddin berkata, pemilik kebun itu mengadu pisang di kebunnya hilang dua hingga tiga tandan setiap hari menyebabkan dia dan keluarganya terpaksa bergilir menjaga kebun itu.

Suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Besut untuk menjalani rawatan dan beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan bertindak sendiri sebaliknya menyerahkan suspek kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Kata beliau, kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Sinar Harian

Tiada ulasan: