02 April 2012

WWF gesa kerajaan kurangkan lesen pukat tunda

10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) menggesa kerajaan bertindak proaktif untuk mengurangkan lesen pukat tunda atau mengharamkan sama sekali kegiatan itu bagi melindungi hidupan marin dan terumbu karang.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF, Datuk Dr Dionysius Sharma, berkata penggunaan pukat tunda yang diheret sepanjang dasar laut, membawa kemusnahan dan menjadi punca utama terjejasnya sektor perikanan negara. “Cara memukat ikan dengan menunda jala sampai ke dasar laut bukan amalan mampan bagi memastikan pemuliharaan alam sekitar kerana ia menggugat imbangan ekologi alam dan bercanggah dengan pengurusan penuaian hasil semula jadi alam.
“Tambahan pula, kekerapan pukat tunda menjala ikan boleh menyebabkan spesies hidupan laut tertentu terancam kerana amalan ini menyebabkan semua hidupan laut terperangkap, tidak kira yang mempunyai nilai komersial atau sebaliknya.

“Ini memberi tekanan kepada proses pembiakan spesies hidupan marin dan kerajaan perlu bertindak segera bagi menyelamatkan khazanah laut negara daripada diancam kepupusan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sehubungan itu, beliau menggesa agensi kerajaan berkenaan menyelaras peraturan lebih ketat bagi operasi pukat tunda dan tidak lagi mengeluarkan permit kepada bot pukat tunda yang gagal mematuhi arahan dikeluarkan.

Antara lain, Dionysius mengesyorkan satu Penilaian Strategik Alam Sekitar dilakukan terhadap kesan operasi bot pukat tunda terhadap alam semula jadi marin.
Beliau juga mahu langkah proaktif diambil bagi melaksanakan amalan perikanan lebih mesra alam dengan undang-undang dan peraturan ketat serta pemantauan lebih kerap bagi memastikan pematuhannya.

Katanya, pihak berkuasa juga harus bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan nelayan bagi melakukan audit ekologi marin, kepelbagaian biologi dan dasar laut yang sensitif di kawasan kerap berlaku kegiatan perikanan menggunakan pukat tunda.

“WWF menerusi Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang sudah merumuskan pelan bertindak pada peringkat serantau dan kebangsaan bagi menyokong usaha itu.

“Kami juga menggalakkan pelaksanaan pengurusan perikanan dan pemuliharaan kawasan yang mengharamkan penggunaan pukat tunda bagi membolehkan sistem ekologi sesuatu kawasan kembali pulih,” katanya.

Difahamkan, terdapat kira-kira 28,705 nelayan terbabit dalam sektor perikanan menggunakan pukat tunda termasuk 18,218 beroperasi di Semenanjung Malaysia.

berita harian/-

Tiada ulasan: